KUALA TERENGGANU – DAP semakin mendapat tempat di hati rakyat Terengganu apabila selepas PRU14 apabila parti berkenaan menerima lebih kurang 250 ahli baharu yang menunjukkan minat bersama parti komponen Pakatan Harapan (Harapan) itu.

Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing berkata, dalam masa sama , parti itu akan menubuhkan lima cawangan baharu di Kuala Terengganu meliputi cawangan Paya Bunga, Chabang Tiga, Jalan Pejabat, Bandar Baru Pulau Kambing dan Bukit Kecil.

Menurutnya, ia satu perkembangan positif DAP dan membuka peluang kepada parti itu berkhidmat kepada masyarakat di negeri berkenaan dengan lebih baik dan lancar pada masa akan datang.

“Selepas PRU-14, kita (DAP) dapat sambutan yang sangat menggalakkan dan orang ramai telah menunjukkan minat untuk bersama-sama dengan kita, oleh sebab itu kita berjaya mengumpul lebih kurang 250 permohonan baharu dan juga berjaya tubuh lima cawangan DAP baharu.

“Selain memberi tumpuan kepada cawangan baharu, kita akan cuba hidupkan semula tiga lagi cawangan yang pernah bersama DAP sebelum ini iaitu di Chukai, Kemaman, Paka, Dungun dan Wakaf Tapai, Marang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pusat Perkhidmatan DAP Terengganu selesai, hari ini.

Hadir sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Chai Hing berkata, beliau akan memastikan perjuangan DAP dapat diteruskan dan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat diTerengganu.

Dalam masa sama, beliau yakin akan ada lagi penubuhan cawangan baharu kerana di Kemaman dan Dungun sudah diedarkan borang keahlian di atas permintaan di daerah berkenaan dan ia belum dikumpulkan lagi.

“Kemaman dan Dungun sudah ada borang jadi ahli tapi hari ini belum kutip lagi, dari situ sudah ada ahli DAP baharu, jadi saya rasa dalam masa terdekat ini kita ada tujuh atau lapan cawangan akan ditubuhkan dengan keahlian hampir 500 termasuk ahli yang tidak aktif yang juga akan diaktifkan semula,” katanya.