KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas nekad meredah api yang sedang marak bagi menyelamatkan harta bendanya, namun sempat dihalang cucu-cucunya dalam kejadian kebakaran di Kampung Atas Tol, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kediaman Rahmah@Lijah Abdul Rahman, 78, bersama lima ahli keluarganya musnah, dengan anggaran kerugian hampir RM400,000.

Menurut Rahmah, ketika kejadian, dia baharu sahaja pulang daripada kandang lembu dan kudanya yang terletak berhampiran.

"Apabila sampai di rumah, saya nampak kepulan asap. Saya kemudiannya bergegas masuk nak selamatkan barang-barang berharga dalam rumah.

"Tapi apabila sampai di tangga rumah, api mula menjulang. Cucu-cucu saya yang nampak kejadian itu memanggil dan menghalang saya daripada terus memasuki rumah," katanya.

Anak Rahmah, Maizatulakmam Abd Ghani,46, mencari barangan bernilai di kediamannya yang musnah dalam kejadian itu.

Jelasnya, kebakaran berpunca daripada bilik dan dapur yang terletak di belakang rumah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.13 petang dan sampai di tempat kejadian pada jam 3.25 petang.

"Apabila pihak bomba sampai, rumah itu sudah terbakar 80 peratus namun kami berjaya mengawalnya daripada merebak pada jam 3.40 petang.

"Jumlah kekuatan anggota yang terlibat dalam operasi ini seramai 26 orang dengan empat jentera. Punca kejadian masih lagi dalam siasatan" katanya.