KEMAMAN - Lebih 10,000 pengusaha sarang burung walit berdaftar boleh menarik nafas lega selepas China menarik semula sekatan sementara eksport produk tersebut dari Malaysia berikutan penularan penyakit selesema burung H5N1.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Malaysia boleh mengeksport semula sarang burung walit yang sudah siap diproses ke China mulai minggu hadapan.

Menurutnya, penarikan semula sekatan sementara itu susulan China berpuas hati dengan pemantauan dilakukan di negara ini dalam mengekang penyebaran penyakit berkenaan.

“Dengan penarikan larangan itu, Malaysia boleh mengorak langkah kedua dengan mengeksport sarang burung walit mentah yang belum diproses ke negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pra Pelancaran Kumpulan Keselamatan Nelayan (KUKENAL) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan majlis berbuka puasa bersama nelayan di Kompleks LKIM Kuala Kemaman, di sini.

China mengenakan sekatan sementara terhadap eksport sarang burung walit yang telah dibersihkan Malaysia sejak 15 Mac lalu akibat penularan wabak H5N1 di Kelantan.

Malaysia mengeksport sebanyak 20.15 tan metrik sarang burung walit ke China yang bernilai RM134.13 juta dan nilai eksport keseluruhan ke seluruh dunia bernilai RM300 juta.

Wabak hawar berdarah terkawal

Ditanya mengenai perkembangan kes penularan penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia yang menyerang haiwan ternakan, Ahmad Shabery yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, penularan wabak itu sudah terkawal apabila tiada kematian haiwan ternakan baharu dilaporkan.

Menurutnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sehingga kini memvaksin kira-kira 1,700 lembu dan kerbau melibatkan lebih 160 ladang ternakan di Marang serta Kuala Terengganu.

Tambahnya, tiada sebarang kes baharu direkodkan sehingga 9 Jun lalu.

“Kita nasihatkan semua pihak agar lapor segera kepada JPV jika haiwan ternakan mereka mengalami tanda penyakit hawar berdarah seperti kemurungan.

“Bila ternakan dijangkiti hawar berdarah, mereka mesti melupuskan guna kaedah ditentukan JPV kerana kaedah pelupusan yang salah menjadi punca penyakit ini merebak,” katanya.

Ditanya sama ada penyakit itu menjejaskan bekalan daging negara, Ahmad Shabery berkata, ia tidak memberi kesan kepada bekalan daging kerana negara mempunyai banyak pilihan lain.

Setakat ini, penularan penyakit hawar berdarah menjejaskan masing-masing lima penternak di Marang dan Kuala Terengganu.

Sebanyak 273 lembu dan kerbau dilaporkan mati sejak wabak itu dikesan mula menyerang pada 26 Mei lalu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG - Kira-kira 300 sarang burung walit dilarikan pencuri pada kejadian pecah masuk rumah burung itu di Kampung Wakaf Bata, dekat sini, kelmarin.
  • YAN - Lima lelaki yang dikenali sebagai Geng Walit berjaya diberkas oleh pihak polis apabila kegiatan mereka mencuri sarang burung walit di Kampung Ruat, Yan berjaya dikesan oleh penduduk kampung pada 1 Julai lalu.
  • KUALA PERLIS - Dengan hanya mencari siput mentarang di sekitar negeri ini, seorang lelaki mampu hidup selesa.
  • JOHOR BAHRU - Ikan laga mempunyai nilai komersil yang tinggi kerana nilai pasarannya yang boleh mencecah sehingga RM500 seekor.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.