SETIU - Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri mengadakan operasi bersepadu terhadap rentahan (menceroboh) tanah kerajaan negeri di Kampung Fikri, di sini, semalam.

Penolong Pengarah (Teknikal dan Penguatkuasaan) PTG negeri, Mohd Kamal Abdul Rahman berkata, operasi yang pertama kali diadakan tahun ini diketuai PTG itu akan diteruskan pada masa akan datang.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dijangka diadakan di seluruh negeri ke atas tanah milik kerajaan negeri yang berskala besar.

“Operasi tertakluk di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menceroboh tanah kerajaan negeri secara haram.

“Individu didapati bersalah akan berdepan dengan denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya selepas selesai operasi itu.

Mohd Kamal berkata, individu yang menceroboh tanah kerajaan negeri perlu akur sekiranya tanah diusahakan mereka diarah dikosongkan kerana sudah termaktub dalam undang-undang.

Katanya, tanah berimpak tinggi terdedah kepada penguatkuasaan itu atas arahan dikeluarkan kerajaan negeri.

“Tak kiralah tanah tersebut telah diceroboh berapa lama sekali pun, tetap salah dan perlu akur apabila kerajaan ingin menggunakannya untuk pembangunan dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, hampir 250 anggota bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Setiu dan lain-lain agensi terlibat dalam operasi bersepadu di sini.

Tambah Mohd Kamal, tanah berkeluasan kira-kira 160 hektar itu telah diceroboh, hasil risikan dilakukan ke atas tanah berkenaan.

Menurutnya, mereka mendapati beberapa bahagian tanah di kawasan itu telah diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan belum memperoleh hasil.

"Susulan itu tindakan diambil apabila arahan mengosongkan tanah dikuatkuasakan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JITRA - Seramai 24 pemilik rumah di Taman Seri Kemuning II, di sini tidak berpuas hati dengan dakwaan pihak pemaju dan tuan tanah bahawa penduduk menceroboh sebahagian tanah milik mereka.
  • KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mempengaruhi Orang Asli berhubung isu milikan tanah dan pembalak di Gua Musang yang boleh mewujudkan provokasi negatif kepada pihak yang terlibat.
  • LUBUK PERAH - Tanah adat masyarakat Orang Asli di sini, sekali lagi dicerobohi hingga menimbulkan keresahan dan kemarahan penduduknya.
  • SANDAKAN - Suspek dalam kes pencerobohan 0.53 hektar Tanah Simpan Riparian berhampiran Kampung Sukau, Kinabatangan akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat ini.