SEBERANG JERTIH - Seorang lelaki bertindak menolak pintu kedai sebuah stesen minyak sehingga pecah sebelum mengambil sedikit makanan di kedai berkenaan kira-kira jam 5 pagi semalam.

Menurut pekerja stesen minyak yang enggan identitinya didedahkan, lelaki berkenaan sebelum itu dilihat datang menaiki kereta dan berlegar beberapa kali sebelum berhenti di sebelah pam minyak.

"Rakan saya yang bertugas ketika itu nampak Proton Wira mencurigakan datang ke stesen ini.

"Sebaik turun daripada kereta, lelaki ini menghampiri kaunter pembayaran di luar premis dan beritahu ingin mengisi penuh minyak petrol di tangki keretanya," katanya mengenai suspek berusia 33 tahun dari Kampung Tembila itu.

Namun katanya, rakannya tidak memenuhi permintaan lelaki tersebut kerana mengesyaki ada yang tidak kena dengannya.

"Lelaki ini kemudiannya minta masuk dalam kedai sebab nak cucuk duit dekat mesin ATM.

"Tapi kawan saya tak benarkan dan cakap pintu boleh dibuka jam 7 pagi," katanya.

Tambahnya, lelaki itu bertindak menolak pintu kedai beberapa kali sehingga pecah sebelum masuk ke dalam kedai berkenaan.

"Dia masuk tanpa pakai selipar dan ada kesan darah dekat lantai kedai sebab kaki dia tercedera terpijak cermin pintu yang pecah," katanya.

Katanya lagi, lelaki itu kemudian mengambil sedikit makanan ringan dan sempat masukkan wang di dalam tabung derma yang berada berdekatan kaunter pembayaran.

"Lelaki ini keluar dari kedai dan menyepak sebuah kereta pelanggan sebelum dia diberkas polis yang datang sejurus selepas itu," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.