Asisten Komisioner K Manoharan
KUALA TERENGGANU - Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Risikan D4, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu yang menyerbu sebuah premis barang lusuh terkejut apabila menemui 180 biji kelongsong peluru yang disimpan di premis yang terletak di Jalan Jambatan Sultan Mahmud, di sini, petang kelmarin.
Dalam serbuan jam tiga petang kelmarin, polis menemui kesemua biji kelongsong peluru itu ketika menggeledah untuk mencari barang curi berdasarkan maklumat awam, sebelum menahan seorang lelaki berusia 45 tahun, dipercayai pemilik premis berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kesemua kelongsong peluru yang bersaiz 5.56 milimeter itu diletakkan di dalam satu beg plastik.“Bagaimanapun, kami akan menjalankan siasatan untuk
mengetahui dari mana suspek mendapatkan kesemua kelongsong peluru berkenaan,” katanya kepada media ketika ditemui, di pejabatnya, semalam.
Selain itu, Manoharan berkata, serbuan yang disertai bersama beberapa pegawai Celcom turut berjaya menjumpai pelbagai barang tembaga, keratan tembaga dan beberapa bateri yang dipercayai milik syarikat telekomunikasi itu.
“Tiga daripada bateri yang dirampas itu dikenal pasti milik Celcom yang dicuri sebelum ini.
“Dalam serbuan itu juga, kami berjaya merampas 18 guni yang berisi tembaga, dua tong yang kesemuanya berisi keratan tembaga serta satu beg besar yang berisi kepala paip air dan meter air,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik premis berkenaan dipercayai telah membeli barang curi yang ditolak dengan harga murah.
Katanya, suspek kini direman untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barang curi yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tempoh tujuh tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.




