KUALA BESUT - Pasar terapung (Floating market) Kuala Besut bakal menjadi satu tarikan baharu di Dun ini selain tarikan sedia ada seperti perkampungan nelayan, makanan tradisional dan Pulau Perhentian yang sudah terkenal di seluruh dunia.

Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, sekiranya cadangan berkenaan menjadi kenyataan kelak, sudah tentu Kuala Besut akan mempunyai satu lagi keunikan yang dapat menarik lebih ramai pelancong sekali gus memberi impak ekonomi kepada penduduk tempatan.

Menurutnya, pihaknya merancang mewujudkan pasar terapung di terusan dikenali Alor Pok Mat berdekatan pasar Pekan Baharu Kuala Besut.

“Kita melihat tempat itu sesuai diwujudkan perniagaan atas perahu berdasarkan kedudukan dan keadaan saliran.

“Apabila adanya pasar terapung itu nanti sudah tentu cabang perniagaan lain akan wujud. Namun ia dalam peringkat cadangan dan usaha ke arah itu sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sukan Air Dun Kuala Besut 2017 yang pembukaannya dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri merangkap Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad di perkarangan Benteng Kampung Nail dekat sini.

Hadir sama, Adun Kota Putera, Mohd Mahdi Musa dan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi.

Tengku Zaihan berkata, program tahunan yang berlangsung selama dua hari itu turut dimeriahkan dengan jualan pasar terapung membabitkan sebuah sampan kecil.

Menurutnya, penampilan sulung pasar terapung dalam program itu dilakukan untuk melihat sambutan yang diterima di samping mencari kelainan dalam acara tersebut.

“Pelbagai jenis makanan moden dan tradisional dijual sepanjang dua hari program itu yang mendapat sambutan baik pengunjung,” katanya.

Tengku Zaihan berkata, selain pasar terapung beberapa acara baru yang diperkenalkan dalam sukan air tahun ini ialah pertandingan rakit berhias manakala bagi sukan darat ialah bidas pulas.

Menurutnya, acara lain yang diadakan pukul bantal atas air, panjat tiang licin, bot berhias, basikal lambat, musang berjanggut, junjung air, spider warrior dan pelbagai acara menarik lain.

“Kita merancang untuk menjadikan acara yang menarik kedatangan ribuan pengunjung itu untuk dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri Terengganu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR PUTEH - Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pelbagai polemik daripada beberapa pihak berhubung status Pasar Besar Pasir Puteh (pasar lama) dan pasar baharu, Pasar Siti Hajar.
  • SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM6 juta untuk membaik pulih dan menaik taraf tingkat atas Pasar Besar Seremban, yang terjejas akibat kebakaran pada 9 September lepas.
  • SEREMBAN - Sejumlah 111 peniaga yang terjejas ekoran kebakaran di Pasar Besar Seremban 9 Sept lepas menerima bantuan wang tunai RM1,000 setiap seorang yang disampaikan Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon.
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan sebuah tapak kekal bagi perniagaan yang dikhususkan untuk wanita (Pasarnita) di setiap negeri.