KUALA TERENGGANU - Tatkala keluarga lain menghitung hari untuk menyambut Aidilfitri, lain pula bagi keluarga ini yang membilang waktu bagi melakukan pelbagai proses perubatan anak bongsu mereka.

Keluarga yang menyewa di Kampung Panji Alam ini sudah buntu memikirkan pelbagai ikhtiar dan usaha bagi mendapatkan rawatan terbaik buat bayi mereka, Nur Aisyah Medina Muhammad Ridzuan,6 bulan yang mengidap Biliary Atresia atau penyakit hati kronik.

Bagaimanapun, ketentuan Ilahi dituruti jua dan  Muhammad Ridzuan Kadir, 40, serta isteri, Nur Diana Awang, 37, menerima keputusan doktor untuk membawa bayi mereka ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas raya nanti.

Bercakap kepada Sinar Harian, Ridzuan berkata, anak kelimanya itu dikesan mengidap penyakit hati kronik ketika berusia 50 hari dan empat hari selepas itu melakukan pembedahan Kasai di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan.

Sejak itu, hospital sudah menjadi rumah kedua bagi bayi kecilnya sehinggalah sekarang yang berulang alik ke Kelantan dan juga Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

"Sepatutnya, saya perlu bawa Aisyah minggu ini ke PPUM tetapi disebabkan kekangan kewangan ditambah menghampiri Aidilfitri, saya tangguhkan dulu.

"Lepas raya nanti kami cadang nak bawa Aisyah ke sana (PPUM) untuk lakukan pelbagai prosedur kerana doktor mencadangkan bayi saya perlu pindah hati," katanya kepada Sinar Harian yang ditemui di rumahnya, di Kampung Panji Alam, di sini.

Ridzuan berkata, dengan pendapatan dia dan isteri, mereka tidak dapat membayangkan bagaimana untuk menanggung kos pemindahan hati itu nanti kerana akan dilakukan di luar negara.

"Saya bekerja di Gdex bahagian penghantaran dan isteri sebagai pembantu di Klinik gigi, anak pula empat yang bersekolah iaitu tingkatan lima, tingkatan dua, tahun tiga dan seorang lagi, tabika, 5 tahun," katanya.

Ridzuan sendiri tidak tahu pada siapa lagi dia mahu bergantung harap demi melihat anak kecil itu kembali sihat seperti bayi lain.

Tambahan pula, dalam masa terdekat ini dia akan mendapat tahu tarikh pembedahan untuk pemindahan hati Aisyah yang dianggarkan ratusan ribu.

"Mana nak cari duit sebanyak itu sedangkan yang ada pun cukup makan saja," katanya dan berharap ada yang tampil membantu meringankan beban keluarganya.

Kata Ridzuan, kos pengangkutan dan perjalanan ke PPUM juga sudah merungsingkannya apatah lagi kos untuk pembedahan itu.

Ridzuan seorang yang aktif dalam pertubuhan amal, Fisabilillah Terengganu dan tidak menyangka ALLAH swt menguji dia dengan cara begitu.

"Dalam kita kerja tolong orang, kali ini kita sendiri yang diuji tapi saya redha dan dalam masa sama mahukan yang terbaik untuk Aisyah," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu bayi Aisyah atau menyumbang boleh menderma melalui akaun bank Maybank milik Muhammad Ridzuan Kadir bernombor 163019320700.

Boleh juga menghubungi Ridzuan ditalian  010-4181384.