MARANG - Bumbung beberapa rumah penduduk di Kampung Tebakang di sini, rosak teruk akibat diterbangkan angin termasuk dihempap pokok selepas kampung itu dilanda hujan lebat serta angin kencang malam tadi.

Dalam kejadian berlaku selama lebih kurang sejam dan bermula kira-kira jam 8.45 malam. Sebanyak lima buah rumah penduduk kampung berkenaan mengalami kerosakan termasuk rumah Setiausaha JKKK Tebakang, Karim Ibrahim.

Pengerusi JKKK Tebakang, Hassan A Rahman berkata, pihaknya menerusi pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Marang akan segera membuat bancian kerosakan dan akan memberikan bantuan sewajarnya kepada mangsa.

“Pada malam tadi kampung ini telah dilanda ribut agak kuat….Berlaku ketika penduduk sedang menunaikan solat Isyak. Ribut berlaku selama lebih sejam dan selepas ribut kita dapati beberapa rumah mengalami kerosakan.

“Ada juga rumah mengalami kerosakan teruk akibat ditimpa pokok mati yang tumbang. Kita sudah berhubung dengan pihak JKM untuk membuat bancian.. Kawasan ini pernah dilanda ribut teruk tahun ini dan ini kali kedua.

“Bagaimanapun penduduk yang terlibat kali ini adalah mangsa-mangsa yang baru,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Tebakang di sini, hari ini dan beliau turut mengarahkan mangsa agar membuat laporan kerosakan.

Mangsa paling terjejas, Mohd Syahril Hafizan, 33, yang ditemui berkata, ketika kejadian berlaku dia berada di Raub, Pahang dan bergegas pulang ke kampung selepas mendapat berita mengenai kerosakan bumbung rumahnya.

“Sebaik tiba di sini (Tebakang) saya dapati atap bahagian bumbung rumah di bahagian dapur rosak akibat dihempap pokok (mati) dan mungkin akan mengambil masa untuk dibaiki semula..Saya juga belum membuat sebarang laporan.

“Ini juga merupakan kejadian pertama berlaku sepanjang mendiami rumah ini sejak lebih setahun lalu. Saya dan isteri bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian kerana isteri saya bekerja di Raub, Pahang,” katanya.

Mangsa merupakan pekerja di pelantar minyak dan sedang bercuti. Mohd Syahril kini menghabiskan masa cutinya untuk menemani isteri yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan tinggal di rumah sewa di Raub, Pahang.

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERANG - Sepasang suami isteri dari Kampung Bukit Endeng, Mukim Belimbing Kiri memohon kepada agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya dapat membaiki rumah mereka yang semakin rosak.
  • KEPALA BATAS - "Semua jadi dalam sekelip mata. Saya tak fikir lain, hanya anak dan isteri saja,". Itu cerita salah seorang mangsa ribut di Kampung Paya Keladi Hujung, Pinang Tunggal apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin dalam kejadian lewat petang kelmarin.
  • SELINSING - [VIDEO] Sejumlah sembilan rumah penduduk dari tiga kampung di sini terjejas teruk akibat kejadian ribut kencang yang melanda mukim Selinsing, lewat petang semalam.
  • KEPALA BATAS - Sebanyak 20 buah rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut yang melanda Kampung Paya Keladi Hujung disini lewat petang tadi.
  • KOTA KINABALU - Tiga belas buah rumah di Kampung Landung Ayang, dekat Kudat, rosak akibat dilanda ribut, petang semalam.