MARANG - Rumah Mesra Rakyat yang baharu dua tahun didiami rosak teruk apabila keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Pusu Tiga, di sini.

Mangsa, Samsiah Ramli, 35, berkata, dalam kejadian kira kira jam 3 petang itu, dia bersama dua dari tiga anaknya berada di dalam rumah manakala suami, Mohd Ramlan Ramli, 36, keluar bekerja.

Menurutnya, disebabkan kejadian seumpama itu belum pernah berlaku dia tidak menjangka bunyi agak pelik dari arah luar rumah adalah bunyi angin dan tidak sampai lima minit rumahnya mula bergegar.

Dalam masa sama, katanya, pintu terbuka kuat menghempas dinding seterusnya bumbung rumah pula terangkat lalu tercabut diterbangkan angin, mengakibatkan air hujan mencurah-curah masuk ke dalam rumahnya.

“Masa kejadian itu saya bawa anak duduk di sana duduk di sini (serba tidak kena). Keadaan (lantai) basah semuanya. Dalam keadaan anak menangis ketakutan saya (hanya mampu) berserah pada ALLAH sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian  di sini, hari ini.

Samsiah merupakan salah seorang daripada 338 mangsa ribut yang menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di kawasan Dun Alur Limbat, di sini, hari ini.

Samsiah berkata, walaupun rumah dan harta benda termasuk perabot serta peralatan elektrik di dalam rumah kebanyakkannya rosak, dia tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Alhamdulillah semuanya selamat. Kami akan menumpang di rumah saudara buat sementara waktu. Anggarkan kerugian juga masih belum diketahui namun perkara ini sudah dimaklumkan.

“Saya dan keluarga juga berterima kasih dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pemimpin setempat serta penduduk termasuk menteri besar dan wakil rakyat yang datang melawat,” katanya.

 

 

 


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.