KUALA TERENGGANU - Seramai 15 pelajar kolej vokasional direman empat hari sehingga Sabtu ini, bagi membantu siasatan berhubung kes buli dua pelajar sekolah berkenaan.

Perintah reman itu dikeluarkan hari ini oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Roszita Md Saad bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dijalankan.

Sebelum itu, kesemua suspek yang berusia 16 hingga 17 tahun hadir ke mahkamah kira-kira jam sembilan pagi tadi, sambil diiringi polis.

Mereka ditahan polis kira-kira jam 8 malam semalam, selepas pihak polis memanggil penjaga masing-masing untuk menyerahkan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, ibu mangsa buli di sebuah kolej vokasional di sini, kesal dengan kejadian menimpa anaknya dan tidak teragak-agak untuk membawa kes itu ke mahkamah sekiranya laporan perubatan mendapati anaknya mengalami kecederaan dalaman yang serius.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya tak maafkan mereka']

Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sofia, 43, berkata, kejadian anaknya dipukul hampir 20 pelajar senior itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam buatnya kerana anaknya sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan sesiapa dan aktif dalam aktiviti sukan.

Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua mangsa yang juga pelajar di kolej vokasional yang sama cedera selepas mendakwa diserang kira-kira 20 pelajar lain dalam kejadian di sekolah berkenaan jam 1.30 pagi semalam.

Ekoran itu, seorang daripada pelajar semester satu Jurusan Teknologi Elektronik, Ahmad Zikrill Azim, 16, yang juga atlet boling Terengganu lebam pada badan dan pengsan dua kali manakala rakannya, Wan Ahmad Faris Zakaria, 16, cedera di kaki dan calar di badan.

Keluarga Ahmad Zikrill kemudiannya membuat laporan polis di IPD Kuala Terengganu kira-kira 3.30 petang kelmarin.

Ketika soal siasat dijalankan, Ahmad Zikrill pengsan menyebabkannya terpaksa dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEKAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah mahu setiap latihan askar wataniah dilaksanakan mengikut modul ditetapkan supaya tidak berlaku gejala buli dalam kalangan anggota mahupun pegawai.
  • TANJUNG RAMBUTAN - Ibu bapa kepada pembuli dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan pada anak mereka dengan pakar berbanding bergantung pada maklumat kurang tepat di laman sosial.
  • KUALA TERENGGANU - Polis sudah membebaskan 26 pelajar yang di reman sebelum ini, yang dipercayai terlibat dalam kejadian buli membabitkan tiga mangsa di sebuah kolej vokasional di Kuala Nerus, minggu lepas.
  • SEREMBAN - Seorang bapa merayu pihak berkaitan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anaknya yang didakwa kerap dibuli oleh guru sekolahnya.
  • KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu semalam, membenarkan tempoh tahanan reman terhadap 26 suspek kes buli di sebuah kolej vokasional di sini, disambung tiga hari lagi sehingga Selasa ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.