KUALA TERENGGANU - Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS) membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan di seluruh negara.

Pengerusi KELSS Terengganu, Mohd Ariff Abllah berkata, penduduk Terengganu juga tidak terkecuali untuk melakukan sumbangan kepada kelab berkenaan.

Menurutnya, sumbangan orang ramai akan membantu kelab berkenaan menyerahkan bantuan segera kepada keluarga yang memerlukan sementara menunggu dana atau bantuan daripada pihak lain.

“Dana atau sumbangan kepada KELSS akan disalurkan kepada mereka yang layak mengikut keperluan, malah dalam masa sama, KELSS juga akan menguar-uarkan nombor akaun sesebuah keluarga atau inidividu yang perlu dibantu.

“Kelab kami berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan telah membuka satu akaun CIMB 8602498368 atas nama Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial bagi memudahkan semua yang ingin menyumbang.

“Orang ramai juga boleh berkunjung ke pejabat KELSS Terengganu di Bangunan Komodal, Bukit Payong untuk berurusan dan boleh melihat aktiviti kami di laman web KELSS,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelab sukarelawan yang bertapak di Malaysia sejak 2015 dan dibuka serentak di seluruh negeri itu kini sedang giat menambah keahlian malah terkini kelab berkenaan mempunyai lebih 40 ahli di Terengganu yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang.

“Kami sendiri akan turun padang untuk melihat atau menjejaki keluarga asnaf, anak yatim, pesakit kronik dan sebagainya untuk dibantu,” katanya.

Sepanjang tahun 2016, lebih 10 kes berjaya dibantu pihak KELSS dengan kerjasama serta sokongan semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, individu dan sebagainya yang turut menghulurkan bantuan apabila terdapat sesuatu kes yang dikesan.

“Sudah ramai yang kita telah bantu, kita juga tolong dapatkan dana perubatan dan barangan keperluan, ini semua atas sokongan orang ramai termasuk media cetak,” katanya.

Dalam masa terdekat ini juga, KELSS bersedia menerima sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir supaya dapat meringankan beban mereka yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Hampir 800 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) dari keluarga kurang berkemampuan dalam Parlimen Shah Alam menerima bantuan berupa pakaian dan peralatan sekolah.
  • KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal mualaf bukan sahaja kematian suami malah terpaksa menanggung anak Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran.
  • KUANTAN - Perkembangan kesihatan positif telah ditunjukkan penuntut Tahun Satu kursus Automotif Kolej Komuniti Pekan yang terlibat dalam kemalangan motosikal, 20 Ogos lalu, berdekatan Tol Gambang, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini hingga menyebabkannya lumpuh dan hilang tangan kanan telah memberikan sedikit kelegaan buat keluarganya.
  • KEMAMAN - “Dengar dari cakap-cakap orang kalau suami dah lama meninggal memang tak akan dapat tuntut dah pencen penakat tapi lepas pergi sendiri ke Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), baharu tahu saya dan anak layak terima,” kata guru wanita, Samza Muda, 45, yang menerima tunggakan faedah pencen penakat arwah suaminya yang berjumlah RM127,253.
  • JOHOR BAHRU - "Saya melihat golongan ini daripada satu sudut yang orang normal tidak mungkin akan menyedarinya, kerana kami berkongsi sanubari yang sama”.