KUALA TERENGGANU - Masjid yang mempunyai lebihan dana terutama di kawasan bandar-bandar Terengganu disaran mewujudkan satu pusat perniagaan yang menawarkan pelbagai perniagaan kategori perkhidmatan kepada masyarakat setempat sebagai jihad ekonomi umat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, antara perniagaan perkhidmatan yang boleh beroperasi di masjid ialah seperti dobi layan diri dan mencuci kereta.

"Banyak manfaat bakal diperoleh oleh pihak pengurusan masjid iaitu menjana keuntungan yang boleh dipulangkan semula kepada penduduk di mukim itu terutama golongan susah dan fakir miskin.

"Bagi pelanggan pula, mereka boleh meluangkan masa sementara menunggu pakaian atau kereta itu siap dicuci untuk mengikuti ceramah, kelas usrah atau melakukan ibadah yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai dobi khas untuk umat Islam yang menjadi kontroversi di Johor baru-baru ini.

Ghazali yang juga Adun Ajil berkata, perkara itu perlu dilihat dengan lebih positif tanpa melibatkan isu perkauman.

"Kewujudan perniagaan kategori perkhidmatan di masjid ini sangat tepat pada masanya terutama untuk golongan wanita yang akan berasa lebih selamat kerana masjid selalunya sentiasa dipenuhi ramai jemaah sepanjang masa dan ini boleh mengurangkan kadar jenayah seperti ragut dan pecah kereta.

"Selain memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak mukim, perkhidmatan ini juga sangat diperlukan oleh golongan bermusafir yang sering singgah di masjid-masjid untuk berehat.

"Keutamaan perkhidmatan adalah kepada penduduk Islam setempat namun kita tidak menghalang penduduk bukan Islam untuk turut mendapat perkhidmatannya kerana Islam itu adalah agama rahmat untuk semua manusia dan sekelian alam," katanya.- Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - Persatuan Pembinaan Masjid Jorak Elahi, Bukit Pasir (Permas BP) di sini, mengharapkan lebih ramai dapat menghulurkan sumbangan bagi membantu pembinaan Masjid Jorak Elahi.
  • SUBANG - Kerajaan negeri akan menanggung sebahagian kos pembinaan dan pembangunan Masjid Putra Heights yang dianggarkan berjumlah keseluruhan hampir RM28 juta.
  • IPOH - Orang ramai khususnya peniaga kini boleh memperoleh lesen perniagaan dengan lebih mudah menerusi penyeragaman yang dibuat terhadap permohonannya melalui Manual Pelesenan Perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
  • SEGAMAT - Kira-kira 1,000 jemaah Masjid Al-Husna, Segamat Baru di sini, dapat beribadah dengan lebih selesa apabila kerja-kerja menaik taraf masjid tersebut dijangka siap sepenuhnya awal tahun hadapan.
  • SKUDAI - Penantian hampir tiga tahun penduduk Taman Pulai Indah untuk memiliki masjid kini menjadi kenyataan.