SETIU - Nostalgia mengutip buah perah atau lebih dikenali sebagai buah peroh dalam kalangan penduduk Terengganu menjadikan satu pengalaman yang sangat mengujakan penduduk di Kampung Bukit Mundok, di sini.

Nor Hashimah Abdullah, 38, berkata, kali terakhir dia mengutip buah perah ketika berada di sekolah rendah.

Menurutnya, sejak dari itu, dia tidak lagi berbuat demikian kerana tinggal di asrama dan pengalaman mengutip buah, semalam pastinya mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanaknya.

"Saya tak suka makan buah perah tapi masa kecil dulu, orang kampung ramai datang sini. Jadi saya seronok ikut mereka kutip sama.

"Mereka siap bawa bekal dan berkelah dekat kawasan pokok ini untuk tunggu buah peroh jatuh," katanya.

Hashimah berkata, buah perah yang matang akan meletup dan luruh dengan sendirinya.

"Kalau tunggu bawah pokok memang dapat dengar bunyi letupan kecil buah itu pecah sebelum jatuh," katanya.

Difahamkan suhu panas sangat penting untuk buah perah luruh kerana ia akan meletup dari kulitnya yang keras dan terdapat antara dua hingga empat biji dalam satu kulit.

Biji yang luruh itu bersifat lembut sedikit berbanding kulitnya perlu dikupas sebelum dimakan setelah ia direbus atau dijeruk.

Kutip lebih 500 biji sehari

Rohana Seman, 48, berkata, dia antara penduduk yang tidak ketinggalan mengutip buah itu setiap kali musim luruh sejak tinggal di kampung itu 30 tahun lalu.

Menurutnya, buah perah adalah buah bermusim dan hanya dapat makan sekali setahun sahaja.

“Buah peroh ni berbuah sekali setahun sahaja dan cara nak tahu dia luruh adalah sama dengan musim buah getah gugur.

“Kalau buah getah luruh, buah peroh juga akan luruh dan penduduk di sini berebut-rebut kutip. Ada yang jual dan ada yang kutip untuk makan bersama keluarga,” katanya ketika ditemui sedang mengutip buah berkenaan di sini.

Rohana berkata, dia pernah berjaya mengutip lebih 500 biji buah perah dalam masa sehari dan menjualnya kepada pembeli.

"Sekarang tak kutip untuk dijual tapi untuk buat makan saja," katanya.

Tambahnya, musim luruh berlaku sejak dua minggu lalu dan ketika itu memang ramai penduduk datang termasuk dari kampung berhampiran.

"Sejak itu, kalau ada masa lapang, saya dan anak-anak akan bawa bekal seperti nasi atau mee goreng untuk berkelah bawah pokok perah sementara tunggu buah luruh," katanya.

Ditanya cara makan, Rohana berkata, ia boleh dimakan secara rebus atau jeruk dan dijadikan ulam bersama nasi atau pun sebagai kudapan.

"Tapi lagi sedap buat jeruk dengan petai berbanding direbus kerana rasanya yang berbeza.

"Kalau rebus, tawar sikit tapi kalau dijeruk dengan petai, rasanya sempurna, ada rasa masam masin," katanya.

Kulit keras, buah perah dan isi (warna putih) buah perah mentah.

Malah katanya, cara membuatnya juga agak rumit kerana setelah selesai direbus lebih kurang 30 minit, buah itu akan direndam semalaman dengan air biasa sehingga naik buih.

"Kemudian, air berbuih itu perlu dibuang terlebih dahulu sebelum proses jeruk dilakukan dan ditambah pula dengan petai.

"Jika disimpan dengan betul, buah perah sebesar ibu jari yang sudah dijeruk itu tahan sehingga setahun," katanya.

Pokok berusia lebih 100 tahun

Warga emas, Zakaria Abu Bakar, 74, berkata, pokok perah yang dipercayai ditanam orang kampung terdahulu itu berusia lebih 100 tahun.

“Pokok ini orang zaman dulu yang tanam sebagai peninggalan untuk anak cucu mereka di kampung ini.

“Buah peroh makanan orang dulu kala lagi, tapi sekarang nak cari pokok ini agak payah tetapi di kampung ini banyak, ada hampir 10 pokok dan berbuah lebat jika masuk musimnya,” katanya.

Menurutnya, pokok perah tumbuh dalam hutan dan untuk mencarinya agak susah kerana terselit di bawah daun.

“Kalau nak cari buah peroh kena kais dengan ranting kayu baru jumpa sebab banyak terdapat di bawah daun-daun kering yang luruh,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :