SETIU - Lebih 120 bot pelancong berdepan masalah tersadai di muara Kuala Merang akibat air cetek yang semakin teruk sejak awal tahun ini.

Masalah itu sering berlaku kepada majoriti bot pelancong yang beroperasi dari Jeti Merang ke pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Redang dan Lang Tengah.

Ia sudah lama berlaku apabila air cetek tetapi lebih teruk sejak Februari tahun ini apabila kerja-kerja mendalamkan muara berdekatan dilakukan hujung tahun lalu.

Lebih sukar apabila pelancong terpaksa turun ke dalam air untuk sama-sama menolak bot yang juga dibantu pemandu bot pelancong atau nelayan lain yang kebetulan berada di muara itu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati dalam masa setengah jam kira-kira lima hingga enam bot tersangkut.

Pemandu bot pelancong, Shaharudin Abdul Ghani berkata, dia difahamkan kerja-kerja asal ialah untuk mendalamkan muara tetapi kesannya berlaku sebaliknya apabila muara menjadi semakin cetek.

"Ia menyukarkan pemandu bot untuk membawa pelancong kerana perlu menolak bot apabila tiba di muka kuala (muara)," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, bot terutamanya bot pemandu pelancong kecil jenis kayu menjadi masalah dengan muara cetek ini manakala bot besar terpaksa menunggu di tengah laut.

"Mereka dipindahkan ke bot besar yang menunggu di tengah laut," katanya.