KUALA TERENGGANU- Cubaan seorang wanita yang dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun daripada tingkat satu bangunan di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), berjaya dihalang dengan tindakan pantas dari anggota bomba dan polis, dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam.

Difahamkan, wanita berusia 32 tahun berasal dari Hulu Terengganu itu bertindak sedemikian selepas dikatakan mengalami masalah kemurungan, kerana dipercayai kehilangan anak.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Pegawai Kanan Bomba II Abdul Halim Mat Adam berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.50 tengah hari sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, wanita terbabit sedang berdiri di koridor bangunan berhampiran surau yang ada di hentian bas, sambil menjerit dan mengugut untuk terjun.

"Kami bersama polis mengambil masa selama 20 minit untuk menenteramkan wanita terbabit sebelum dia kembali tenang dan datang ke arah kami.

"Wanita terbabit sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :