KEMAMAN - Semua pegawai bomba yang terlibat dengan operasi pemadaman kebakaran tiga tangki minyak mentah kilang penapisan Kemaman Bitumen Company (KBC) Sdn Bhd diarahkan menjalani pemeriksaan perubatan untuk memastikan mereka tidak dijangkiti kuman dan penyakit.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Sharikan Bustaman berkata, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan kerana dikhuatiri bahan-bahan bahaya yang wujud kebakaran petrokimia berkenaan.

"Semua pegawai dari serendah-rendah pangkat hingga ke setinggi-tinggi pangkat termasuk saya dan pengarah akan bersama-sama untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan.

"Ini untuk pastikan kami tidak mendapat jangkitan kuman, penyakit dan sebagainya dan membolehkan kami akan kembali bertugas seperti biasa di balai-balai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhir operasi berkenaan di pos kawalan bomba (PKB) yang dibuka berhadapan pintu masuk kilang penapisan itu kelmarin.

Selepas keseluruhan operasi itu ditutup pada jam 1 tengah hari kelmarin, kerja-kerja mengemas dan menyimpan peralatan dilakukan dan selesai kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Sharikan berkata, semasa kerja-kerja mengemas dan pembersihan itu dilakukan, mereka turut memastikan perlatan yang digunakan sepanjang operasi berada dalam keadaan baik dan selepas ini ia dapat terus digunakan pada operasi-operasi lain.

Keadaan api menjulang tinggi ke udara selepas berlaku letupan pada hari pertama kebakaran.

Operasi dan kerja-kerja pembersihan itu melibatkan kekuatan keanggotaan seramai 120 pegawai bomba dari seluruh Terengganu.

Tragedi tiga tangki minyak mentah KBC yang menggemparkan negara itu berlaku kira-kira jam 6.30 petang, Khamis lalu dan ketika kebakaran beberapa letupan kuat turut berlaku.

Kebakaran yang menjadi antara insiden kebakaran tangki minyak paling buruk dalam sejarah perindustrian di Malaysia itu berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 6.40 petang, Sabtu lalu iaitu selepas hampir 49 jam kebakaran meletus sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 1 tengah hari kelmarin.

Dalam pada itu, Sharikan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan termasuk kepada pasukan emergency response team (ERT) KBC sendiri yang memberi bantuan yang sangat bagus kepada pasukan bomba.

"Terima kasih juga kepada Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) yang memberi ruang kepada kami untuk mendapatkan bekalan air, terima kasih kepada Syarikat Air Terengganu (Satu) yang membenarkan kami mngambil air dari punca yang boleh menyebabkan kemungkinan gangguan air kepada penduduk, terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang membekalkan pam bersaiz besar membolehkan kami mendapat air yang mencukupi untuk melawan kebakaran selama tiga hari.

"Begitu juga kepada pasukan Self Response Petronas kerana beri tunjuk ajar, kongsi kepakaran dan membantu kami. Tak lupa juga kepada Pejabat Daerah Kemaman yang membekalkan keperluan logistik termasuk makanan. Terima kasih juga kepada menteri besar dan exco kerajaan negeri yang setiap hari hadir ke lokasi untuk memantau kebajikan kami," katanya.

Katanya, penghargaan juga ditujukan buat jiran mereka iaitu JBPM Pahang yang banyak membantu memberi dari segi kekuatan anggota dan bantuan peralatan.

"Kami juga menghargai rakan-rakan media yang setiap hari ada bersama-sama saya dan pengarah tanpa jemu serta bersengkang mata demi membuat liputan," katanya lagi.

Bomba ibarat wira gadai nyawa demi rakyat

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan pegawai bomba seperti wira kerana sanggup bergadai nyawa demi rakyat sepanjang operasi itu dilakukan.

Pegawai bomba membersihkan peralatan yang dicemari tar menggunakan diesel dan bahan kimia khas.

"Mereka sangat hebat kerana mempertaruhkan nyawa sendiri melawan kebakaran semata-mata untuk memastikan keselamatan rakyat terutama penduduk di sekitar terjamin.

"Bukan sahaja pegawai bomba, bahkan semua anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi ini adalah 'hero' termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pembantu dan pegawai perubatan serta semua yang terlibat.

"Terima kasih kepada semua yang bertungkus lumus secara langsung dalam operasi memadamkan kebakaran  tersebut. Semoga ALLAH balas segala jasa yang dicurahkan mereka semua," katanya yang juga Adun Chukai.

Penduduk tarik nafas lega api padam

Dalam perkembangan sama, kejayaan pasukan keselamatan memadamkan kebakaran besar itu dalam tempoh singkat melegakan kira-kira 2,000 orang penduduk yang tinggal sekitar kilang memproses bitumen tersebut dan menganggap tragedi itu sangat menakutkan.

Puziah Jusoh, 61, dari Kampung Bukit Kuang yang terletak kira-kira empat kilometer dari lokasi kebakaran  berkata, gara-gara kebakaran itu, dia tidak lena tidur sepanjang beberapa hari kerana khuatir berlaku lagi letupan yang boleh mengancam nyawa penduduk berdekatan.

"Mujurlah tak sampai seminggu api sudah padam, asap hitam pun sudah tiada.

"Masa mula-mula terbakar, mokcik ada kat bangsal pok (suami) jual ikan, mokcik dengar bunyi berdentum kuat, ingat lori kemalangan atas jambatan Bukit Kuang.

"Lepas tu nampak asap dari jauh, kejap je tak sampai setengah jam asap tebal naik kepul-kepul. Masa tu mokcik doa asap tak sampai sini, biar asap menuju ke laut sebab situ tak ramai orang tinggal," katanya.

Kemusnahan salah sebuah tangki minyak mentah selepas api dipadamkan.

Rokiah Taib, 58, dari Rumah Murah Bukit Kuang pula berkata, pada awalnya dia menyangka berlaku insiden kapal terbang jatuh selepas terdengar bunyi dentuman kuat ketika sedang berada di luar pagar rumah bersama suaminya.

"Dari jauh mokcik tengok asap hitam berkelung  (berkepul-kepul) naik, mokcik beritahu anak suruh dia tengok takut kapal terbang jatuh ke, rumah terbakar ke atau kapal pecah.

"Lepas tu baru tau KBC terbakar. Tapi lening (sekarang) mokcik lega dan rasa syukur sangat sebab api sudah padam. Yang mokcik takut asap datang ke sini sebab asap hitam tu bahaya," katanya.

Zulkifli Hamzah, 60, pula berkata, kecekapan bomba memadamkan api dengan cepat mengelakkan situasi menjadi lebih buruk yang boleh memaksa mereka berpindah ke lokasi selamat.

"Sekarang ni pok (pakcik) rasa lega dan bersyukur sangat-sangat sebab kalau dok berjaya padam api cepat, mungkin penduduk Bukit Kuang dan Teluk Kalong kena pindah ke tempat lain. Sebab asap kebakaran katanya bahaya," katanya sambil memberitahu, letupan yang berlaku semasa kebakaran menyebabkannya turut merasa gegaran kuat.