DUNGUN - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu boleh membantu membina rumah baharu untuk penduduk kampung Pantai Laut, Paka yang terjejas akibat hakisan dan fenomena air pasang besar sekiranya mereka mempunyai tanah sendiri.

Dalam kejadian tiga minggu lalu, tiga buah rumah di penempatan itu runtuh akibat musibah berkenaan.

Bagaimanapun, seramai 12 keluarga di situ sudah disenaraikan akan berpindah ke penempatan baharu oleh kerajaan tetapi projek dijanjikan belum siap.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, mangsa boleh membuat permohonan untuk pembinaan rumah baharu sekiranya mempunyai tanah sendiri atau tanah atas nama ibu bapa.

Menurutnya, bantuan wang tunai dan barangan keperluan yang dihulurkan adalah tambahan kepada usaha pemimpin dan kerajaan.

"Kita akan bantu bina baharu seperti bantuan rumah untuk mangsa-mangsa bencana alam atau penduduk miskin.

"Masalah ini sudah mendapat perhatian daripada kerajaan dan tujuan lawatan kita hari ini adalah sebagai tambahan untuk meringankan beban,"katanya ketika lawatan ke penempatan itu.

Sebanyak RM3000 dan barangan keperluan turut diserahkan kepada empat keluarga yang terjejas teruk dalam musibah itu.