KUALA TERENGGANU – Pengguna disarankan bertindak memboikot secara berterusan semua produk keluaran Amerika Syarikat (AS) sebagai tanda protes terhadap tindakan Presidennya, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (Patut), Amir Hakimin Che Razali berkata, usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama semua pihak ekoran tindakan biadab pemimpin kuasa besar dunia itu yang telah mencalar perasaan umat Islam.

“Bagi menghukum tindakan biadab itu, antara langkah yang dilihat efektif ialah boikot secara besar-besaran terhadap beberapa jenis barangan dan perkhidmatan buatan AS yang menyumbang secara tidak langsung kepada Israel.

“Kaedah boikot produk AS juga mampu beri kesan tetapi perlulah secara berterusan dan ia perlulah dilakukan secara menyeluruh termasuk di peringkat kebangsaan di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, katanya, kenyataan Trump dijangka akan menimbulkan kesan terhadap hubungan perdagangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Dalam hal ini, OIC perlu bersuara dan bertindak tegas dalam perkara ini antaranya mengkaji semula hubungan perdagangan dengan AS dan tidak menggunakan USD dalam transaksi negara-negara anggota tersebut termasuk Malaysia,” katanya.

Amir Hakimin juga berkata, tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah tindakan terburu-buru dan hanya mengukuhkan kumpulan pelampau ke tahap tidak pernah dilakukan sesiapa pun sebelum ini.

“Keputusan itu mampu meningkatkan ketegangan di rantau barat dan di teluk yang bergolak. Pengiktirafan itu tidak sah dan dilaksanakan tanpa sebarang perbincangan yang telah melanggar undang-undang dan resolusi antarabangsa dan melanggar kesucian kota Baitulmaqdis.

“Keputusan ini menimbulkan kemarahan kepada umat Islam seluruh dunia dan mampu menimbulkan kembali ketegangan. Baitulmaqdis adalah kota suci umat Islam, dan ia sudah pasti menjadi satu perjuangan mutlak umat Islam seluruh dunia,” katanya.