KUALA TERENGGANU - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membincangkan masalah dua solat Jumaat dalam satu kariah yang berlaku di negeri ini pada Mesyuarat Tahunan Maidam hari ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Senara Muda Mazlan Hashim berkata, pihaknya sedar masalah itu telah berlarutan lebih 30 tahun lalu dan sukar untuk diselesaikan apabila ada pihak tidak dapat memberi kerjasama kerana lebih mementingkan agenda lain daripada memelihara kesucian agama Islam.

Menurutnya, pandangan semua ahli majlis pada mesyuarat itu akan diambil kira, termasuk mencari kaedah dan tindakan sesuai menyelesaikan isu yang turut mendapat teguran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, ketika bertitah merasmikan Masjid Sultan Ismail, Chendering Jumaat lalu.

“Apabila sesuatu isu itu tidak dapat diselesaikan dalam waktu yang panjang, (ini menunjukkan) mesti ada pihak yang berkeras mempertahankan tindakan mereka. Tindakan mempertahankan amalan mereka itu pula dirasakan tidak sesuai.

“Kita akan mencari jalan dan tindakan konkrit akan dibincangkan dalam mesyuarat (hari ini), untuk mengatasi masalah itu,” katanya kepada media semasa hadir pada majlis penerimaan wang zakat perniagaan daripada dari Agrobank Terengganu di pejabat Maidam, Kuala Terengganu.

Maidam menerima zakat berjumlah RM42,718 daripada Pengurus Serantau AngroBank, Pusat Terengganu/Kelantan, Mohd Rahim Mohd Zain.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman.

Antara ahli Maidam yang hadir dalam mesyuarat tersebut adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang, Penasihat Kewangan, Mufti Terengganu, dan Ketua Polis Negeri.

Katanya, mesyuarat itu akan diadakan di Pejabat Mufti, pada jam 9.30 pagi hari ini.

Selain membincangkan isu itu, mesyuarat yang diadakan enam kali setahun ini, turut membincangkan masalah lain yang berkaitan.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat, isu dua solat Jumaat dalam satu kariah boleh diselesaikan melalui tindakan secara pengurusan dan setakat ini Maidam belum ada cadangan meminta Sultan Mizan sebagai ketua agama negeri campur tangan bagi menyelesaikan isu itu.

“Mengadap dan memberi cadangan memohon Sultan Mizan campur tangan serta mengeluarkan titah adalah langkah terakhir, kita akan berusaha menyelesaikan isu itu dengan meminta pandangan semua ahli majlis dalam mesyuarat itu,” katanya.

Jumaat lalu, Sultan Mizan melahirkan rasa dukacita berikutan masih ada pihak tertentu mengadakan dua solat Jumaat dalam satu kariah tanpa kebenaran di beberapa daerah di negeri ini.

Titah baginda, kejadian itu disebabkan tiada persefahaman dalam mencari penyelesaian ke atas sesuatu masalah dihadapi, sekali gus menyebabkan Islam tercemar, maruah bangsa Melayu Islam ternoda dan umat Islam dihina serta dipermainkan.

Susulan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata, Pas sewajarnya dipersalahkan kerana membezakan masjid kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan masjid milik pembangkang sehingga umat Islam berpecah dan mendorong kejadian dua solat Jumaat dalam satu kariah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan kaji pelaksanaan skim insurans keluarga Islam atau (takmin al-usrah) sebagai jaminan untuk kelangsungan hidup sekiranya berlaku penceraian.
  • KUALA TERENGGANU - Dua wanita berusia awal 20-an yang menyamar sebagai doktor palsu bagi perkhidmatan pemasangan pendakap gigi ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Kesihatan Terengganu di sebuah rumah tumpangan di Kampung Losong, di sini.
  • KUALA TERENGGANU - Skuad futsal Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu akan menguji prestasi dan kekuatan sebenar pasukan pada saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 yang bakal membuka tirainya di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam Sabtu ini.
  • KUALA TERENGGANU - Bas amfibia atau amphicoach yang baharu sahaja tiba di Terengganu 18 Februari lalu telah selesai dipandu uji bermula di Kampung Losong Feri, mengelilingi Pulau Wan Man sebelum kembali semula ke trek asal, petang semalam.
  • KUALA TERENGGANU - Hasil lelongan barang rampasan yang direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu mencecah hampir RM60,000 tahun lalu.