BESUT - Identiti kawasan Kampung Raja dan sekitarnya di sini yang dahulu terkenal sebagai pusat perkembangan pendidikan termasuk agama di daerah ini diteruskan oleh tokoh agama sekarang.

Mohamad Abdul Rahman, 57, atau lebih dikenali Ustaz Mat Atas Beris adalah guru agama yang tekad memastikan Kampung Atas Beris di Kampung Raja, di sini, kekal sebagai pusat pengajian agama tersohor sebagaimana dahulu.

Menurutnya, kini beliau dalam proses menyiapkan satu kompleks pondok moden dikenali Pondok Warga Emas yang terletak di kampung yang juga bersebelahan kediamannya dan tempat beliau dilahirkan.

“Dulu pada tahun 40an, di kampung ini ada sebuah sekolah pondok dikenali Pondok Tok Guru Haji Omar yang sangat popular ketika itu.

Ustaz Mat di hadapan pondoknya yang terletak di Kampung Atas Beris, Jalan Lela Segara, Kampung Raja

“Rumah yang dijadikan pondok itu masih berada di seberang jalan dengan pondok warga emas ini,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Suriani Salleh, 48, dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia 13 hingga 28 tahun.

Ustaz Mat berkata, selain itu beberapa pondok lain yang terkenal dahulu ialah Pondok Haji Mat Kampung Pinang, Pondok Haji Hussin Kampung Lampu, Pondok Haji Daud Kampung Lampu dan Pondok Haji Hassan Kampung Lampu.

Dakwah kepada warga emas

Katanya, atas dasar mahu mengembang dan memperkukuhkan Islam telah mendorongnya membuka sekolah pondok pada 2014 hasil derma orang ramai.

Beliau mengambil keputusan membuka pondok khusus untuk warga emas kerana berpendapat sekolah tahfiz untuk golongan muda sudah banyak.

“Tumpuan pengajaran kepada warga emas adalah lebih memberi fokus tertentu seperti membetulkan akidah,  memperkemaskan ibadah dan pelajaran bersesuaian,” katanya tentang sekolah pondoknya yang kini pembinaannya telah menelan belanja RM3 juta.

Bagaimanapun pihaknya memerlukan tambahan dana sebanyak kira-kira RM2 juta bagi menyiapkan pembinaan masjid dan dewan.

Ustaz Mat menunjukkan sebahagian sijil penghargaan yang diterimanya selama ini.

Katanya, pondoknya kini mempunyai kemudahan tiga blok penghuni, satu blok kediaman petugas dan guru serta satu bangunan pentadbiran.

“Saya bina dengan reka bentuk moden dan kemas supaya institusi pondok dipandang tinggi oleh umat Islam,” katanya yang belum membuat pengambilan pelajar walaupun ramai menawarkan diri.

Beliau turut menjangka pondok tersebut akan dibuka dalam tempoh setahun lagi jika pembinaan masjid dan dewan berjalan lancar dan siap sepenuhnya.

Menurutnya, derma daripada orang ramai tidak putus-putus sambil memberitahu turut menerima derma daripada seorang individu dari daerah ini sebanyak RM1 juta.

“Saya tidak boleh dedahkan nama individu terbabit kerana dia tidak mahu apa yang dia buat dihebohkan,” katanya.

Dalami ilmu dengan tokoh terkemuka

Ustaz Mat menghabiskan masanya mendalami ilmu agama daripada tokoh agama terkemuka dan berpengalaman.

Walaupun tidak menjejakkan kaki ke menara gading untuk mempelajari agama, namun beliau bukan calang-calang malah setanding dengan guru agama terkemuka lain.

Katanya, beliau bersekolah dalam aliran biasa iaitu bermula di Sekolah Kebangsaan Kampung Raja sebelum meneruskan persekolahan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah sehingga tingkatan lima.

“Ketika di sekolah rendah dan menengah, saya sudah menunjukkan kecenderungan tinggi ke arah agama apabila sering diberi tanggungjawab menjadi imam, mewakili sekolah dalam pertandingan bacaan al-Quran peringkat negeri, syarahan Maal Hijrah peringkat daerah dan sebagainya,” katanya.

Sebaik tamat persekolahan, beliau mula mendalami agama secara serius apabila berguru dengan datuk sepupunya, Sulaiman Ibrahim yang merupakan seorang guru agama terkenal.

Kata Ustaz Mat, beliau berguru dengan guru yang cacat penglihatan berusia 90 tahun ketika itu selama lima tahun secara sepenuh masa.

“Sulaiman adalah salah seorang murid tua Tok Kenali dan beliau belajar di Mekah selama beberapa tahun kemudian pernah berguru dengan  ulama terkenal di sana antaranya Syeikh Abd Kadir Madilin dan Ismail Abd Kadir,” katanya.

Beliau berkata, guru tersebut merupakan pakar usuluddin namun beliau belajar dalam semua bidang meliputi feqah, tasawuf dan lain-lain.

Sebelum itu beliau mempelajari al-Quran dengan ibunya manakala bapanya adalah seorang imam di surau yang dibina di sebelah rumahnya.

Ustaz Mat kemudian belajar di Pondok Haji Abd Rahman Sungai Durian, Kuala Krai selama dua tahun dengan pengkhususan kepada pengajian bahasa Arab.

“Selepas tamat belajar di situ, saya menuntut lagi dengan beberapa guru agama terkenal di daerah ini termasuk Ustaz Wan Abdul Latif dan Nik Man,” katanya.

Tidak kenakan bayaran

Beliau kemudian diberi tauliah mengajar di masjid pada 1985 dan turut dijemput menyampaikan ceramah di masjid-masjid daerah ini.

Selain itu, beliau kini mengadakan kelas haji kepada bakal jemaah dan kuliah agama mengikut jadual yang ditetapkan setiap minggu bertempat di surau lama yang dibina arwah bapanya yang terletak bersebelahan pondok.

Ustaz Mat (dua, kanan) selepas menerima Tokoh Maak Hijrah Peringkat Daereh Besut pada 2008.

“Manakala setiap hari Sabtu bermula jam 10 hingga 11 pagi pula saya mengadakan Kuliah Perdana Wanita yang melibatkan kehadiran 500 orang jemaah wanita,” katanya yang tidak mengenakan sebarang bayaran.

Sementara itu, beliau akan menganjurkan program Jamuan Sambil Menderma yang akan diadakan pada 26 November depan bermula jam 11 pagi hingga 6 petang bertempat di pondok tersebut.

Katanya, ia bagi mencari dana untuk membina bangunan seterusnya di pondok itu.