SEBERANG TAKIR - Kerajaan negeri akan membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memastikan rakyat Terengganu memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah setiap seorang pada masa akan datang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, melalui pelaksanaan projek sedemikian secara tidak langsung mampu membantu rakyat berpendapatan rendah terutamanya pasangan muda mempunyai rumah sendiri.

“Kita sedia maklum bahawa kebanyakan rakyat di negeri ini tidak mampu memiliki rumah yang dibangunkan pemaju swasta berikutan harga yang tinggi.

“Disebabkan itu juga masih ramai pasangan muda yang baharu berkahwin terpaksa menumpang di rumah ibu bapa kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

“Jadi saya komited dalam memastikan lebih banyak projek perumahan mampu milik akan dibangunkan di seluruh negeri dengan harapan rakyat mampu memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Pengusaha Bot Penambang, Nelayan dan Buruh Dun Seberang Takir Epic Berhad di Dataran Permata, Kampung Baru, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu seramai 866 penerima memperoleh bantuan berjumlah RM300 setiap seorang membabitkan peruntukan sebanyak RM259, 800 yang disumbangkan Epic Berhad dan Takaful.

Sumbangan itu diberikan bagi meringankan beban golongan itu yang berdepan kekangan kewangan berikutan tidak dapat keluar bekerja atas faktor musim tengkujuh.