HULU TERENGGANU - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) melalui anak syarikatnya, SPNB Idaman Sdn Bhd akan membina sebanyak 248 unit kediaman mampu milik di Kampung Kuala Ping, di sini.

Projek dinamakan Rumah Idaman Rakyat (RIR) Kuala Ping itu bakal dibina atas keluasan tanah sekitar lapan hektar dan dijangka siap pada 2020.

Majlis pelancaran projek berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman di Dataran Kuala Ping serentak dengan pelancaran Pusat Komersial Kuala Ping Square.

Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kesemua rumah yang ditawarkan bermula pada harga RM68,000 sehingga RM277,000 bergantung kepada keluasan rumah berkenaan.

“Daripada keseluruhan unit rumah akan dibina, 28 unit merupakan rumah teres setingkat Egenia berharga RM68,000 dan 41 unit teres setingkat Dehasia ditawarkan pada harga RM179,000.

“Selain itu, 147 unit teres setingkat Madhuca pada harga RM199,975 serta 32 unit rumah berkembar setingkat Milletia dijual pada harga RM277,000. Rumah-rumah ini adalah kediaman mampu milik.

“Projek RIR Kuala Ping ini sebahagian daripada 1,922 unit RIR yang dirancang di Terengganu. Tiga lagi lokasi projek ialah di  Tok Jembal, Kuala Nerus; Paka dan Kerteh, Kemaman.

“Terengganu antara negeri yang memiliki unit RIR terbanyak. Ketika ini sebanyak 229 unit sedang dibina di Kampung Santong, Paka, Dungun dan diikuti 248 unit lagi di Kuala Ping ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat dan Pengerusi SPNB Idaman Sdn Bhd, Datuk Seri Ahmad Kabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Latiff memaklumkan, dalam tempoh tiga tahun  sebanyak 1,361 unit RIR telah dibina di seluruh negara daripada keseluruhan 16,346 unit yang dirancang untuk dibangunkan.

Sementara itu, Ahmad berkata, projek Nusa Idaman berkenaan menawarkan pakej jualan menarik seperti rebat tunai sehingga RM10,000 dan pakej cuci kaki meliputi kabinet dapur, peralatan elektrik dan sist rumah pintar.

Untuk info RIR Nusa Idaman Kuala Ping yang berlatar belakangkan industri pelancongan merupakan cetusan idea Rozi selaku Adun Telemong dalam merancang pembangunan rumah yang mampu dimiliki rakyat.

Lokasinya berdekatan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kuala Ping, Politeknik Hulu Terengganu, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Tasik Kenyir dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Berang.