KUALA TERENGGANU – Kewujudan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) atau Bilik Frog di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin memberi peluang kepada murid dan guru sekolah itu meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran abad 21.

Pengetuanya, Koo Boon Chin berkata, antara objektif program itu adalah memberi pendedahan kepada guru-guru tentang prasarana atau fasiliti pembelajaran abad 21 selain memberi idea mempelbagaikan pengajaran dan pembelajaran.

Tetamu jemputan kehormat diberi penerangan mengenai kemudahan dalam Bilik Frog VLE.

Atas sebab itu menurutnya, beliau gembira apabila SMK Chung Hwa Wei Sin menjadi antara sekolah terawal di Terengganu yang terpilih menjalani transformasi Frog Classroom Makeover anjuran YTL Foundation di bawah projek 1 Bestarinet.

“Bilik Frog sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 2016 yang mana bilik asalnya adalah di bilik Media Pusat Sumber Sekolah. Hasil kerjasama semua pihak termasuk sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola Sekolah, bilik ini menjadi realiti.

“Hampir RM13,000 telah dibelanjakan untuk memastikan prasarana bilik ini lengkap khususnya dari segi fizikal termasuk penyediaan 'chrome book' dan internet berkelajuan tinggi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran dan Perasmian Bilik Frog VLE di sekolah itu.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Matsor Ismail. Frog adalah Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) yang dipilih bagi projek 1Bestarinet dan mempunyai fungsi sebagai komuniti atau kumpulan besar.

Ketibaan tetamu disambut dengan tarian singa.

Persekitaran pembelajaran Frog atau VLE adalah satu sistem pembelajaran berdasarkan jaringan yang menyerupai pembelajaran dunia sebenar dengan mengintegrasikan konsep pendidikan konvensional dengan kaedah maya.

Antara kelebihan menggunakan Frog VLE adalah maklumat disampaikan dengan lebih mudah dan pantas, dipersembahkan secara interaktif kepada murid, mudah diakses dari pelbagai sumber dan maklumat itu juga mudah diurus serta dikemas kini.