• Biji petai warna putih Norma menunjukkan biji petai berwarna putih yang menarik perhatian penduduk Kampung Batu 9 Ibok.
1 /

KEMAMAN – “Seumur hidup inilah pertama kali saya tengok biji petai warna putih,” kata seorang peniaga kedai runcit, Norma Rahim, 34, yang terkejut melihat sebanyak empat daripada sepapan petai berwarna putih sedangkan biji selebihnya berwarna hijau seperti kebiasaannya.

Menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang pelik, katanya, petai unik itu turut mendapat perhatian pelanggan kedainya.

Menurutnya, ramai yang melihat petai itu seakan tidak percaya kerana tidak pernah melihat petai berwarna putih sebelum ini termasuk dalam internet.

“Terdapat 17 biji bagi sepapan petai dan empat daripadanya berwarna ganjil. Saya penggemar petai dan selalu beli petai untuk jadikan ulam. Sepanjang saya makan petai, tidak pernah saya temui biji petai warna putih seperti ini.

“Saya juga mengunyah sedikit isi petai ganjil ini dan rasanya berlainan dari biji petai berwarna hijau kerana rasanya kelat seperti biji nangka,” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya, di Kampung Batu 9 Ibok kelmarin.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, petai berkenaan dibawa oleh ibu saudaranya ke kedainya selepas seorang suri rumah di kampungnya menyedari keganjilan petai tersebut ketika memotong biji petai tersebut untuk dijadikan ulam.

Suri rumah itu yang mesra disapa sebagai Ti membeli petai itu atau dalam bahasa saintifiknya disebut Parkia Speciosa dari penjual ikan yang masuk ke kampung mereka.

“Dia bersetuju meletakkan petai ganjil itu buat sementara di kedai saya bagi membolehkan penduduk kampung melihat keunikan pada petai tersebut. Sekali imbas biji petai ini seperti isi buah jering.

“Bagaimanapun sebenarnya tiada yang mustahil dalam dunia ini, semuanya kuasa ALLAH SWT,” kata Norma lagi.