KUALA TERENGGANU – Kerajaan pusat bakal memberikan subsidi kira-kira RM1 juta melibatkan pembelian sebanyak 50 unit buah rumah di bawah program My Beautiful New Home (MyBNHome) yang akan dilaksanakan di negeri ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000 bagi setiap unit rumah dengan separuh harga akan dibiayai oleh kerajaan.

Beliau berkata, Terengganu merupakan negeri ketiga yang akan melaksanakan program di bawah MyBNHome selepas Perak dan Melaka dan buat permulaan, pihaknya akan meninjau tapak yang disyorkan di Kampung Mak Kemas, Marang untuk melihat kesesuaian sebelum projek tersebut dapat dilaksanakan.

“Kalau sesuai, kita akan bina 50 unit buah rumah yang RM20,000 diberi subsidi oleh kerajaan, hanya RM20,000 akan dibiayai melalui BSN seperti mana dibuat di Perak yang telah pun siap dilaksanakan... Jadi, tempoh bayaran pun mungkin mengambil tempoh selama 20 tahun melibatkan kos sebanyak RM20 sebulan. Memang berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan taklimat mengenai program MyBNHome di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini, semalam.

 Mengulas lanjut, projek rintis MyBNHome di Lekir, Manjung, Perak melibatkan sebanyak 50 unit buah rumah telah pun disiapkan dan dalam peringkat untuk memberikan kepada pemohon berjaya yang bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Pembinaan rumah melalui teknik Sistem Binaan Industri (IBS) ini turut melibatkan pelajar-pelajar teknik dan vokasional (TVET) dari Kementerian Pendidikan Tinggi, selari dengan objektif inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Di Melaka kita sudah kenal pasti tempat... manakala Sabah dan Sarawak kita akan melawat tempat untuk melancarkan MyBNHome di sana,” katanya.

Selain itu, program MyBNHome turut dirancang dilaksanakan di beberapa lokasi lain yang telah dikenal pasti seperti di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Pahang.

Program usaha sama Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan kerajaan negeri ini merupakan penyediaan kediaman baru mengikut spesifikasi khas yang telah ditetapkan kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,900 atau golongan B40.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :