BESUT – Majlis Daerah Besut (MDB) akan membangunkan daerah itu  dari sebuah daerah berasaskan pertanian kepada sebuah daerah elit moden sesuai dengan sasaran untuk menjadikannya sebagai sebuah majlis perbandaran menjelang tahun 2022.

Yang Dipertua MDB, Ab Rashd Jusoh memberitahu hampir 80 peratus daripada kawasan telah dikenal pasti untuk dibangunkan membabitkan bandar Jertih, Kampung Raja, Kuala Besut dan Hulu Besut termasuk sekitar laluan landasan dan stesen keretapi laju yang dirancangkan kerajaan untuk dibina di Terengganu dan Besut dalam jangka masa lima tahun ini.

Beliau berkata untuk ditingkatkan ke tahap majlis perbandaran, beberapa langkah sedang dilaksanakan oleh MDB termasuk memperbaiki prestasi kutipan cukai tahunan, menambah bilangan penduduk, memperbaiki tahap kesihatan, kebersihan dan keindahan di samping memastikan kemudahan untuk orang awam diperbanyakkan dengan membabitkan perbelanjaan puluhan juta ringgit.

“Untuk itu MDB memerlukan kerjasama daripada penduduk dalam memberi sokongan sepenuhnya terutamanya dalam membuat pembayaran cukai taksiran tahunan dan penjagaan kebersihan agar apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan”, katanya kepada media di Majlis Sambutan Hari Raya MDB hari ini.

Menurut Ab Rashid, bagi memastikan pengutipan cukai dapat ditingkatkan, MDB sedang menambah baik setiap perkhidmatannya di seluruh daerah termasuk di Pulau Perhentian dengan menambah penyediaan kemudahan tempat penginapan pelancongan.

Ab Rashid berkata kemudahan untuk rumah penginapan dan kedai-kedai jualan telah dibangunkan bukan sahaja di Pulau Perhentian malah di Kolam Air Panas La, lokasi rekreasi Bukit Keluang,  tempat perkelahan Lata Belatan, Jabi dan Lata Tembakah termasuk di bandar Jertih.

Selain itu katanya, kemudahan seperti penyediaan tempat rekreasi dan tempat menjamu selera sedang dibangunkan dengan penekanan diberikan kepada penjagaan kebersihan dan keindahan  bagi menarik pelawat tempatan dan pelancong datang ke daerah Besut.

“Di bandar Jertih sendiri, Dataran Kejat sedang dibina dengan belanja RM30 juta bagi memberi kemudahan kepada para peniaga kecil seperti penjualan buah-buahan dan barangan keperluan harian dipusatkan di satu kawasan agar peniaga dalam bandar Jertih akan lebih tersusun,” katanya.

Ab Rashid yakin dengan pelbagai kemudahan yang disediakan penduduk akan lebih mudah untuk membayar cukai kepada MDB setiap tahun bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak RM25 juta setahun seiring untuk menjadikan Besut sebagai sebuah perbandaran.

Bagi penambahan penduduk, beliau menjangka dalam beberapa tahun ini bilangannya akan bertambah dengan pembukaan beberapa pusat pengajian tinggi seperti Politeknik Besut di samping pemulihan Taman Ilmu dilakukan oleh kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memulihkannya yang telah lama terbengkalai.

Katanya, pihaknya menjangka kutipan cukai MDB akan meningkat kepada RM18 juta tahun ini berbanding RM15 juta tahun lalu dengan peningkatan pembayar cukai melebihi 60 peratus sekarang berbanding hanya 50 peratus sebelumnya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BESUT - Majlis Daerah Besut (MDB) dengan kerjasama beberapa agensi lain mewujudkan Zon Mandian Selamat di Pantai Bukit Keluang bagi memastikan aktiviti riadah dijalankan di kawasan berkenaan selamat dan berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
  • KUALA KETIL - Penduduk dan peniaga Taman Desa Bidara, di sini, membantah pembinaan 35 unit kedai makan Majlis Daerah Baling (MDB) yang dibina berhampiran kediaman mereka.