MARANG -  Ketika orang lain sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh, adik Pengerusi JKKK Pak Madah di sini, pula terpaksa bertarung nyawa menyelamatkan diri keluar dari rumah yang sedang terbakar pagi tadi.

Muhammad Mohd Arshad, 45, terpaksa meredah api untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran yang menyebabkan rumah pusaka didiaminya di Jalan Kesumat Indah di Pak Madah di sini, musnah lebih kurang  jam 5.00 pagi.

Muhammad berkata, dia tinggal seorang diri di rumah berkenaan dan sedang nyenyak tidur ketika kejadian berlaku namun tersedar apabila terasa bahang panas dari arah luar bilik tidurnya lantas bangun dan membuka pintu bilik.

“Saya buka pintu bilik saya lihat api sudah marak…. Rumah sedang terbakar, saya terus keluar (redah api) untuk selamatkan diri,” katanya ditemui Sinar Harian di rumah abangnya, Zainudin Mohd Arshad, 56, berdekatan lokasi kebakaran.

Namun perbualan hanya terhenti setakat itu sahaja apabila beliau enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu dan meminta abangnya untuk menceritakan keadaan selepas kebakaran termasuk membuat laporan polis.

Sementara itu, Zainudin berkata, kesemua barang termasuk peralatan rumah di rumah pusaka berkenaan musnah dalam kebakaran namun bersyukur kerana adiknya itu selamat dan berjaya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, adiknya itu akan tinggal sementara di rumah keluarganya dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan bagi mengenalpasti punca dan nilai kerugian yang ditanggung akibat kebakaran itu

“Anggaran kerugian secara kasar adalah hampir RM100 ribu namun saya disarankan oleh anggota polis yang tiba di tempat kejadian untuk membuat laporan bagi pihak adik saya dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Wakaf Tapai, Suriati Ariffin berkata, pihaknya mendapat maklumat awal pada jam 5.45 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira jam 5.59 manakala api berjaya dikawal 10 minit kemudian.

Beliau mengetuai operasi melibatkan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai di sini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG BUBOK - "Walaupun sedih dengan dugaan ini, tapi saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dalam musibah yang berlaku baru-baru ini."
  • SABAK BERNAM - “Saya nampak kepulan asap hitam, ingatkan kebun terbakar, tapi tak sangka bila sampai dekat nampak api julang tinggi bakar (sebuah) rumah penduduk,” kata Mohamed Ali Abdul Hamid, 39, saksi kejadian kebakaran di Jalan Masjid, Kampung Sungai Tengar Utara, di sini, kelmarin.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.