DUNGUN - Seramai 57 peserta berkayuh sejauh kira-kira 10 kilometer bermula dari Tanjung Jara hingga Sekolah Menengah Sains Dungun (SMSD) bagi menjayakan program Unity Ride dan dialog perpaduan sempena bulan kebangsaan, di sini, baru-baru ini.

Program berkenaan diadakan bagi menyebar dan menyemai semangat kemerdekaan supaya generasi hari ini lebih menghargai perjuangan masyarakat terdahulu.

Ketibaan peserta berbasikal yang terdiri daripada ahli Persatuan Basikal Dungun dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Dungun disambut oleh warga pendidik dan pelajar SMSD.

Pada sebelah petangnya, acara itu disemarakkan pula dengan dialog untuk membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat dan sama-sama mempertahankan keamanan sekarang.

Secara tidak langsung program berkenaan meningkatkan semangat cintakan negara dalam diri peserta dan dipertahankan untuk generasi akan datang.