• Redzuan Abd Aziz Redzuan Abd Aziz
1 /

KUALA TERENGGANU - Bagi graduan ijazah yang masih belum mempunyai pekerjaan tetapi berminat untuk meningkatkan kualiti diri dan kebolehpasaran kerjaya, satu program khas yang dinamakan ‘Graduate Career Accelerated Program’ (GCAP) mungkin adalah penyelesaian terbaik.

Program tajaan sepenuhnya kerajaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu mengambil masa selama enam minggu dan kini boleh diikuti di Showme International College yang terletak Wisma Kokitab, Jalan Sultan Ismail, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Showme International College, Redzuan Abd Aziz berkata, program itu terbuka kepada graduan lepasan ijazah berusia 21 tahun ke atas dan mendapat keputusan Nilai Purata Gred Keseluruhan (CGPA) 2.3 ke atas.

“Apa yang menarik mengenai program ini ialah ia dijalankan secara percuma dan peserta turut diberikan elaun sebanyak RM800 sebaik sahaja menamatkan program ini. Tetapi mereka perlu menamatkan kursus ini selama enam minggu, yang diadakan pada Ahad hingga Khamis, bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

“Selepas menamatkan kursus enam minggu ni, peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan jaminan pekerjaan di syarikat dan agensi kerajaan yang terlibat. Saya harapkan peluang ini direbut oleh semua graduan lepasan IPTA dan IPTS yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya kepada Sinar Harian.

Sepanjang kursus itu, peserta akan didedahkan dengan sembilan modul pengisian yang akan diajar oleh tenaga pengajar terlatih, antaranya International Business English, Creative Thinking Methodological Division Making and Analytical Solving Method dan Grooming and Working Ethic.

Jelasnya, kursus tersebut lebih menjurus ke arah kemahiran insaniah, iaitu ke arah meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan dan meningkatkan tahap profesionalisme di tempat kerja.

“Sepanjang kursus ini kita menekankan kepada tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan pada masa sama, meningkatkan profesionalisme mereka, agar lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja.

“Kursus ini masih dibuka kepada mereka yang layak. Kepada yang berminat untuk menyertai program ini, boleh hubungi 09-6227525 / 09-6317526 / 013-9097515 (Mira) / 013-9317525 (Aida Liyana) atau layari www.showme.com.my,” katanya lagi.