KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu memberi isyarat lebih tegas berhubung pendirian terhadap golongan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di negara ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pendirian jelas perlu diambil bagi menangani gejala yang dilihat semakin berleluasa itu.

"Selaku menteri yang menjaga urusan agama, beliau dapat memberikan isyarat yang lebih tegas berhubung pendirian kerajaan untuk tidak berkompromi dengan gejala yang semakin menjolok mata.

"Walaupun kerajaan berpendirian akan mengambil tindakan bagi pelaku kegiatan tidak bermoral dengan syarat sekiranya melanggar undang-undang, ia masih tidak memadai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung LGBT ketika ditemu bual sebuah portal berita tempatan, Jumaat lalu.

Amzad berkata, undang-undang mengawal LGBT perlu diperkasakan.

"Saya setuju, selagi pelaku tidak menzahirkan perlakuannya. Undang-undang tidak boleh dikenakan.

"Tapi ia tidak seharusnya menyekat kerajaan dari memberi isyarat yang tegas dan jelas dalam isu LGBT bagi mengelak dari menjadi terlalu 'lunak' dengan gejala demikian," katanya.

Dalam pada itu, Amzad berkata, kenyataan-kenyataan digambarkan mengenai pendirian terhadap LGBT memberi kegelisahan kepada rakyat.

"Saya percaya rakyat semakin gelisah dengan kecenderungan yang ditunjukkan menteri belia dan sukan, bagi memberi tempat kepada aktivis LGBT dalam perjawatan yang rapat dengannya.

"Setelah rakyat mempersoal, barulah beliau menafikan dan meminda kedudukan itu.

"Ia tak elok kerana gejala ni banyak berlaku dalam kalangan belia," katanya.