SEBERANG TAKIR - Kesusahan hidup ditambah dengan keadaan bapanya yang diserang strok memaksa Mohd Latif Mustafa, 13, memilih untuk melupakan hasrat meneruskan persekolahan seperti remaja lain.

Menurut Mohd Latif, bapanya, Mustafa Jusoh, 63, mula diserang strok kira-kira empat tahun lalu mengakibatkan dia hanya mampu terlantar.

“Memikirkan keadaan ayah yang tak dapat bergerak dan tak ada siapa nak menjaganya, saya pilih untuk korbankan masa depan untuk belajar.

"Masa tu saya hanya fikirkan keadaan ayah yang tiada siapa nak jaga, di samping sedar masalah kewangan yang kami hadapi. Rumah yang kami tinggal sekarang juga merupakan rumah yang disewa,” katanya.

Mohd Latif berkata demikian ketika ditemui di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia  (PR1M) Dun Seberang Takir, Kampung Telaga Daing.

Menurut Mohd Latif, bapanya mula mendapatkan rawatan dan pemulihan di pusat berkenaan sejak awal tahun lalu, telah menunjukkan perubahan positif.

“Sebelum ini nak duduk atau bangun pun tak upaya, tapi selepas mendapatkan rawatan pemulihan di pusat ini, ayah dah dapat berjalan dengan bantuan tongkat.

“Buat masa ini ayah belum dapat lagi bertutur seperti sebelum ini dan saya harap ayah akan cepat-cepat sembuh,” katanya yang turut berterima kasih kepada PR1M Dun Seberang Takir kerana menyediakan kenderaan khas untuk mengambil dan menghantar bapanya berulang-alik dari rumah ke pusat berkenaan.

Ditanya sama ada masih berminat untuk meneruskan persekolahan, Mohd Latif mengakui masih menaruh harapan untuk bersekolah pada masa akan datang.

“Saya tahu saya sudah banyak ketinggalan dalam pembelajaran, tapi saya tetap bercadang untuk meneruskan persekolahan satu hari nanti,” katanya yang kini tinggal di Kampung Teluk Ketapang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :