KUALA TERENGGANU – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan membentangkan Akta Kutub Malaysia di Parlimen bagi memberi peluang lebih ramai saintis di negara ini melakukan penyelidikan dan penerokaan di Kutub Utara serta Selatan.

Menterinya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, akta itu akan dibentangkan di Parlimen selepas draf mengenainya diteliti dan diluluskan Jabatan Peguam Negara.

“Tujuan utama pembentangan akta ini ialah untuk menubuhkan Institut Sains Polar Malaysia yang berperanan melonjakkan pembabitan negara melakukan penyelidikan dan penerokaan di Kutub Utara dan Selatan.

“Sekiranya draf ini mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara, ia akan dibentangkan di Parlimen untuk digubal," katanya pada sidang media selepas perasmian Seminar Antarabangsa Malaysia Mengenai Antartika kali ketujuh di sini, kelmarin.

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM).

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail; Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Mohd Zuber Embong; Pengerusi Program Penyelidikan Antartika Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi kerajaan, A Latiff Awang.

Wilfred Madius berkata, akta itu perlu diwujudkan berikutan keanggotaan bersejarah negara dalam Perjanjian Antartika yang ditandatangani pada 31 Oktober 2011.

“Keanggotaan negara dalam perjanjian ini membolehkan saintis negara terbabit secara langsung untuk melakukan semua penyelidikan di benua Antartika tanpa melalui negara lain," katanya.

Menurutnya, setakat ini negara sudah menghantar 120 saintis ke benua Antartika untuk melakukan penyelidikan, tetapi terpaksa melalui negara anggota lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.