KUALA TERENGGANU – Badan bukan kerajaan (NGO) keusahawanan, Generasi Muda Bumiputera (GMB) teruja dengan pembentangan Belanjawan 2019 terutama berhubung tiga fokus utama belanjawan iaitu fokus ketiga, memupuk budaya negara keusahawan.

Pengerusi GMB, Norlukmal Mat Ghani berkata, beliau melihat kerajaan menekankan untuk memperbetulkan persepsi budaya keusahawanan bukan hanya sekadar bidang kerja tetapi satu bidang yang mampu dibawa ke hadapan.

Menurutnya, keputusan kerajaan meningkatkan perusahaan sosial sehingga meletakkan RM10 juta untuk insentif itu menampakkan ia sangat memberi prihatin terhadap perusahaan sedemikian.

“Kita sebagai sebuah perusahaan sosial di pantai timur teruja dan melihat ia satu perkembangan positif pada masa akan datang dalam bidang berkenaan.

“Di sini, saya menekankan supaya perusahaan sosial dilihat pihak-pihak sewajarnya dan saya sebagai pengerusi GMB Terengganu dan pelopor perusahaan sosial pantai timur berharap kerajaan negeri turut melihat kepentingan perkara ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Norlukmal berkata, sokongan kerajaan negeri amat penting kerana komuniti usahawan khususnya di pantai timur agak ketinggalan berbanding di pantai barat dan utara tanah air.

Tambahnya, perusahaan sosial dapat memberi nilai tambah kepada usahawan baharu dan lama melalui ilmu yang boleh membantu perniagaan mereka supaya lebih berkembang.

“Sokongan daripada kerajaan negeri sangat perlu dari segi pembentukan komuniti usahawan, khasnya di Terengganu,” katanya.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga berkata, kerajaan sanggup bekerjasama dengan NGO dan perusahaan sosial dalam menyokong usaha mereka membantu komuniti kurang bernasib baik dan terpinggir.