KUALA TERENGGANU – Bajet 2019 yang dibentangkan kerajaan Jumaat lalu seolah-olah mengehadkan perkembangan belia kerana tiada banyak peruntukan dalam membantu pentadbiran dan aktiviti pertubuhan belia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Presiden Majlis Belia Terengganu, Amirullah Othman berkata, bajet kali ini tidak menyediakan bantuan kewangan khas kepada pertubuhan belia untuk mengadakan program memperkasa pembangunan belia di setiap kampung.

Menurutnya, keadaan itu dilihat tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk meminda usia pengundi kepada 18 tahun.

“Untuk menyediakan pengundi yang matang, pelbagai program dan aktiviti perlu dilaksanakan terutamanya dalam aspek pengembangan pemikiran dan kepimpinan supaya Malaysia mampu melahirkan belia yang dinamik dan berfikiran aras tinggi.

“Aktiviti yang dilaksanakan ini menjadi nadi penggerak agenda pembangunan bakat belia dan agenda sosial negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, inisiatif menyediakan RM10 juta bagi pembangunan sukan elektronik (E-Sport) bertujuan melahirkan jurutera perisian dan pemaju permainan digital dalam kalangan belia yang akan memberi sumbangan besar kepada negara.

“Dalam hal ini, kerajaan perlu mengkaji secara terperinci kerana belia dari kampung perlu digilap potensi mereka menerusi pelbagai program demi memastikan golongan yang menjadi tunjang masa depan negara ini sentiasa diraikan dan tidak dipandang sepi,” katanya.

Dalam pada itu, Amirullah berkata, secara keseluruhan pihaknya melihat bajet itu agak memuaskan, namun terdapat beberapa lompong perlu ditambah baik untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berwibawa, ekonomi dinamik dan rakyat yang sejahtera.

“Kita menyambut baik pelan pengurusan hutang negara dan pelbagai inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan dalam mengurangkan beban ekonomi dan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah (B40) melalui bantuan sara hidup (BSH),” katanya.