KUALA TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menasihatkan masyarakat di negeri ini tidak panik atau ‘panic buying’ berikutan laporan kekurangan minyak masak paket yang dikaitkan turut berlaku di negeri ini.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia menegaskan, kuota bekalan minyak masak masih mencukupi khususnya di Terengganu dan kedudukannya masih terkawal serta tidak membimbangkan.

“Kita sudah melakukan tinjauan di beberapa pasar raya di negeri ini secara mengejut untuk melihat keadaan dan kita dapati penuh di rak serta tiada sebarang masalah melibatkan bekalan minyak di negeri ini.

“Kita tidak mahu menimbulkan keadaan panik atau ‘panic buying’ kepada pengguna,” katanya kepada pemberita di Pejabat KPDNKK Terengganu, di sini.

Beliau berkata, laporan mengenai kekurangan bekalan minyak masak akan mempengaruhi pengguna mengambil tindakan drastik membeli melebihi keperluan yang boleh memberi kesan lebih besar terhadap bekalan tersebut.

Dalam masa sama, beliau tidak menolak laporan mengenai kekurangan kuota bekalan minyak masak paket mungkin berpunca dari sudut agihan daripada pihak pembekal dan juga pemborong.

Sementara itu, Saharuddin berkata, berdasarkan kedudukan terkini kuota minyak masak, terdapat 10 pembungkus atau ‘repacker’ minyak masak, masing-masing enam di Kuala Terengganu, dua di Besut dan dua di Kemaman.

“Jumlah keseluruhan kuota bulanan minyak masak bagi negeri Terengganu adalah sebanyak 1043 M/T.

"Jumlah stok terkini minyak masak di seluruh Terengganu adalah sebanyak 149.17 M/T,” katanya.

Selain itu katanya, seramai 87 peruncit khusus atau District Dedicated Retailers (DDR) di Terengganu, masing-masing 35 di Kuala Terengganu, 29 di Besut, 18 di Kemaman dan lima di Dungun.

Manakala jumlah pasar raya DDR di negeri ini adalah sebanyak 27 premis dan kedai runcit DDR sebanyak 60 premis.