KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu memberi jaminan bekalan ayam dan daging di Terengganu mencukupi bagi tempoh bermula minggu depan sehingga ke musim perayaan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, stok bekalan ayam ketika ini adalah sebanyak 2.77 juta ekor, manakala sebanyak 10,000 ekor daging lembu dan kerbau sedia ada sebagai persediaan untuk sambutan hari raya.

Menurutnya, pihaknya bagaimanapun turut memikirkan alternatif lain sebagai persiapan menghadapi hari raya dengan mendapatkan bekalan dari Pahang dan juga Kelantan.

“Daripada jumlah stok yang ada di negeri ini, ia mencukupi dan itu pun tidak mengambil kira lagi bekalan yang akan diambil dari Pahang dan Kelantan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini.

Turut hadir Pengarah JPV Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali dan Ketua Bahagian Kesihatan JPV Terengganu, Dr Wan A’aidah Wan Hashim.

Muhammad Pehimi berkata, bagi memastikan bekalan tidak menimbulkan sebarang masalah, sebanyak 35 tan daging import Australia dan India turut dibekalkan pembekal seperti Giant, Mydin dan Habib Frozen.

“Habib Frozen kita ada 25 tan, manakala Mydin dan Giant masing-masing membekalkan lima tan dan ini tidak termasuk yang akan dibekalkan kemudian. Biasanya Habib Frozen dia akan tahulah bekalan dan keperluan dia. Kita yakin, dia boleh membantu agar bekalan daging ini tidak terjejas sehingga ke hari raya nanti,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai Haermorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah yang melanda negeri ini khususnya di daerah Kuala Terengganu dan Marang, beliau menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada sebarang laporan yang boleh mengaitkan sebarang jangkitan dengan manusia atau boleh menjejaskan kesihatan khususnya melalui pengambilan daging yang dimasak.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri bersedia untuk mengimport bekalan bahan mentah seperti kelapa untuk menampung permintaan sepanjang sambutan Aidilfitri ini jika keadaan memerlukan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu Datuk Muhammad Pehimi Yusof.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.