KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu bercadang mengenakan caj penginapan kepada pelancong yang menginap di hotel di negeri ini, sebagai langkah menampung peruntukan bagi pengurusan pelancongan serta mempertingkatkan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pihaknya sedang menjalankan kajian mengenai perkara itu, sebelum pelaksanaan dilakukan sambil memberitahu, langkah tersebut bertujuan menjadikan pelancongan sebagai sektor utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Mengulas cadangan itu katanya, Terengganu bukanlah negeri pertama ke arah menguatkuasakan caj tersebut memandangkan pelaksanaan caj yang sama telah pun dibuat di Melaka dan Pulau Pinang yang mengenakan caj warisan di negeri masing-masing ketika ini.

“Kajian sedang dijalankan bagi mengenal pasti kaedah bersesuaian sebelum dikuatkuasakan kepada hotel-hotel di negeri Terengganu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Rhu Rendang) di Sidang Dun sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dun Ketiga Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, kajian tersebut akan dilakukan Jabatan Pelancongan Terengganu dan pihak berkuasa tempatan dengan mengambil contoh negeri-negeri yang melaksanakan caj tersebut, sebelum pelaksanaan secara menyeluruh dibuat.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif juga menjelaskan caj dikenakan hanyalah sekitar RM1 sehingga RM2 ke atas setiap malam bagi setiap bilik, di samping caj turut bergantung pada taraf hotel terbabit.

Sehubungan itu beliau yakin, dengan kemampuan perbelanjaan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, caj dikenakan tidak membebankan.

“Mereka yang melancong memang berkeupayaan dan mempunyai duit yang lebih dan apa salahnya, cuma dalam kadar hanya RM1 hingga RM2 sahaja. Selepas ini jika ada program luar negara daripada agensi pelancongan kita, duit ini akan kembali semula kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, pelaksanaan caj tersebut juga membantu mengurangkan beban kerajaan berbelanja, khusus bagi pengurusan pelancongan.

Jelasnya, kerajaan negeri mahu melihat komitmen daripada pihak hotel dalam membantu kerajaan negeri memandangkan pihaknya sebelum ini telah pun memperuntukkan perbelanjaan bagi mempromosi hotel, sekali gus memberi keuntungan kepada pengusaha hotel di negeri ini.

“Jadi tidak salah untuk mereka pula memberi sumbangan kepada kerajaan negeri dalam keadaan kewangan negeri sekarang ini. Di sini wujudnya situasi menang-menang,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman tegas menafikan dakwaan pemimpin Pas Terengganu bahawa tawaran permohonan 5,900 lot tanah kosong untuk pembinaan rumah kediaman kepada rakyat meniru manifesto parti pembangkang itu.
  • SETIU - Berdasarkan komitmen diberikan pihak pemaju, projek Perumahan Mampu Milik Pulau Redang dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung bulan depan setelah tergendala sejak hampir lima tahun lalu.