MARANG - Bayi berusia sembilan bulan menderita penyakit kegagalan hati (biliary atresia) memerlukan bantuan orang ramai untuk membolehkannya menjalani pembedahan dengan segera.

Pembedahan telah pun ditetapkan sebulan dari sekarang dan akan dijalankan di Hospital Renji Shanghai, China namun kos pembedahan diperlukan yang mencecah RM250,000 belum mencukupi.

Mohd Faris Wafiuddin Faris Irwan yang dilahirkan secara normal pada 2 Mei tahun lalu telah dikesan menghidap penyakit tersebut ketika  mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Susulan itu, bayi masih belum mengenal erti kehidupan itu dinasihatkan menjalani pemindahan hati di China yang mempunyai kepakaran selain kos rendah berbanding negara lain seperti Singapura atau India.

Ibu bayi itu, Siti Rokiah Ab Wahab, 39, berkata, pada awalnya, anaknya menghidap demam kuning (jaundis) seperti kebanyakan bayi baru lahir namun tidak menyangka perlu menghadapi dugaan berat seperti ini.

“Sebagai ibu, saya mahu yang terbaik untuknya dan melihat dia kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain walaupun kami masih buntu memikirkan cara untuk menyediakan wang diperlukan.

Bayi berusia sembilan bulan menderita penyakit kegagalan hati (biliary atresia) ini memerlukan bantuan segera.

“Dari sudut perubatan, doktor juga menasihatkan supaya anak saya menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji di Shanghai, China secepat mungkin iaitu pada akhir bulan depan,” katanya.

Isteri kepada seorang guru yang ditemani beberapa ahli keluarga lain itu berkata demikian ketika menerima kunjungan Sinar Harian di rumah keluarganya di Kampung Tebakang di sini, semalam.

Katanya, dia dan suami, Faris Irwan Shafpii 35, telah membuat ujian darah untuk melihat sama ada mereka sesuai menjadi penderma hati kepada bayi lelakinya yang juga anak bongsu daripada empat beradik.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional 02129-29-00000381-2 atau menghubunginya di talian 014- 8191406.