MARANG - 'Akhirnya Muhammad Faris Wifiuddin pergi jua'.

Demikian takdir ditetapkan buat bayi berusia 11 bulan yang mengalami masalah saluran hempedu tersumbat dari Tebakang itu apabila dia telah dipanggil mengadap Ilahi pada petang Sabtu lalu.

Anak syurga terbabit adalah anak bongsu pasangan Siti Rokiah Ab Wahab, 39, dan Faris Irwan Shafpii, 35, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur kira kira jam 5 petang.

Sebelum itu, Muhammad Faris Wifiuddin Faris Irwan, dijadualkan menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China di bawah tajaan kerajaan negeri membabitkan kos lebih RM200,000.

Ibunya, Siti Rokiah Ab Wahab, 39, berkata, Muhammad Faris Wifiuddin dijadualkan berangkat ke China pada 19 Mac lalu, tetapi tertangguh kerana keadaan anaknya yang tidak stabil dan dirawat di PPUM.

“Bagaimanapun kesihatan Wifiuddin semakin merosot selain keadaan hatinya yang rosak teruk dan dipantau di PPUM sejak sebulan lalu,” katanya.

Namun, Siti Rokiah reda dengan pemergian Wifiuddin dan berpuas hati kerana sepanjang hayat anaknya, dia dan suaminya sudah berusaha sedaya upaya untuk menyembuhkan anak bongsu mereka itu.

Jenazah arwah kemudiannya dibawa pulang ke kampung halaman suaminya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Chalok Barat, di Setiu.

Sinar Harian pada 22 Februari lalu melaporkan mengenai penderitaan Muhammad Faris Wifiuddin kerana masalah saluran hempedu tersumbat dan perlu menjalani pembedahan membabitkan kos lebih RM200,000.