DUNGUN - Pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan merugikan rakyat luar bandar.

Adun Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, walaupun projek ECRL di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi kerajaan sekarang tidak seharusnya mengambil pendekatan sedemikian.

Menurutnya, jika diteruskan projek kemudahan awam seperti ini akan membawa banyak manfaat kepada penduduk luar bandar.

"Projek ini mungkin mempunyai masalah tetapi tidak seharusnya dibatalkan kerana banyak sudut positifnya.

"Penduduk luar bandar bukan sahaja akan menerima kemudahan awam tetapi bakal membuka banyak peluang pekerjaan.

"Jika ECRL dilaksanakan, jurang antara rakyat luar bandar dan bandar dapat dikurangkan, " katanya ketika menghadiri majlis dantau Exco bersama nelayan Seberang Pintasan, di sini, baru-baru ini.

Beliau menyokong pendirian Menteri Besar Terengganu yang tidak bersetuju dengan pembatalan projek mega tersebut.

"Dengan pembatalan projek ini, kita berharap akan ada projek ganti yang lain supaya pembangunan dan pertumbuhab ekonomi di sini dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, menerusi majlis santai berkenaan pelbagai rungutan dan permasalahan nelayan tempatan diberi perhatian.

"Masalah yang ada bukan baharu dan tidak dapat diselesaikan ketika tampuk pemerintahan terdahulu.

"Kita mendengar dan akan menggerakkan agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalah yang timbul," katanya.