KEMAMAN - Satu lagi kemudahan baharu dapat dinikmati rakyat di daerah ini apabila Perkhidmatan Bas Kemaman Shuttle akan beroperasi bermula 1 November, iaitu pada Rabu ini.

Kemudahan pengangkutan bas bandar itu diperkenalkan atas inisiatif Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Penyelaras Projek Bas Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, bagi fasa pertama yang juga fasa percubaan, Perkhidmatan Bas Kemaman Shuttle itu akan mengambil dan menurunkan penumpang di sebanyak 21 hentian sekitar Bandar Chukai.

"Bas akan tiba di setiap hentian tiap-tiap satu jam bermula jam 7 pagi dan berakhir jam 6 petang.

"Perkhidmatan ini akan memulakan perjalanan di Dataran Kuala Kemaman yang menjadi hentian utama sebelum bergerak ke 21 buah hentian yang telah ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, hentian pertama hingga ke 21 mengikut urutan adalah Dewan Sivik Geliga/Kuala Kemaman, Klinik Kesihatan Kuala Kemaman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Perhentian Bas Geliga Intan, Masjid Kampung Paya Berenjut, Perhentian Bas Kampung Mak Lagam dan Depan Kilang Tamura Kampung Fikri.

Ia diikuti hentian berikutnya di Bas Islam Chukai Utama, Hospital Kemaman/Depan Kemaman Centre Point, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Majlis Perbadaran Kemaman/Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Wisma Persekutuan/Klinik Kesihatan Chukai, Padang Astaka/Perpustakaan Awam Daerah dan Pejabat Parlimen Kemaman/ Hai Peng Kopitiam.

Hentian seterusnya yang akan dilalui adalah Pejabat Tabung Haji/Pasar Besar Kemaman, Stesen Bas Lama Kemaman, Jakar/Tunas Manja, Stesen Bas Ekspres Geliga, SMK Geliga, Klinik Kesihatan Kuala Kemaman dan Pondok Polis Kuala Kemaman sebelum kembali semula ke Dataran Kuala Kemaman.

Menerangkan lebih lanjut, Mohd Fauzi memberitahu, pergerakan bas dari Hentian Utama di Dataran Kuala Kemaman melibatkan 12 trip setiap hari, iaitu waktunya berselang sejam bemula dari jam 7 pagi trip pertama, diikuti jam 8 pagi (trip kedua), 9 pagi (trip ketiga), 10 pagi (trip keempat) dan begitulah berikutnya hingga jam 6 petang.

Katanya lagi, perkhidmatan berkenaan adalah khidmat sosial yang tidak berasaskan keuntungan dan ia beroperasi hasil penajaan syarikat-syarikat swasta.

Sehubungan itu, Mohd Fauzi juga sangat mengalu-alukan pihak-pihak lain untuk turut sama menaja kos operasi bas itu yang mana pihak penaja akan diberikan ruang pengiklanan di bahagian luar dan dalam bas serta di skrin televisyen LED bas berkenaan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Kegiatan licik sindiket penyeludupan menggunakan bas ekspres sebagai kenderaan untuk menyeludup Pendatang Tanpa Izin (Pati) dari sempadan Thailand ke Kampung Manal, di Tanah Merah akhirnya tumpas selepas mereka berjaya dikesan Jabatan Imigresen Kelantan di sini semalam.
  • SHAH ALAM - Sebanyak RM30 juta diperuntukkan untuk meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor.
  • SHAH ALAM - Bas Smart Selangor bukan sekadar menyediakan perkhidmatan percuma malah ia juga bertujuan membudayakan masyarakat menggunakan kenderaan awam dalam usaha merealisasikan Selangor sebagai Smart State.
  • SABAK BERNAM - Bas Selangorku yang disediakan untuk rakyat secara percuma perlu dikaji semula perkhidmatannya kerana disifatkan tidak memenuhi cita rasa penduduk sekitar daerah Sabak Bernam.