KUALA TERENGGANU- Kerajaan negeri kini berusaha keras memastikan mangsa-mangsa bencana alam seperti kebakaran, ribut dan banjir menerima bantuan yang sewajarnya dengan segera.

Pegawai Penyelaras Dun Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, bagi bantuan rumah baharu bagi mangsa kebakaran misalnya, pihaknya menetapkan tempoh antara dua hingga enam bulan untuk menyiapkannya.

“Ia menjadi agenda utama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dalam mempercepatkan dan memudahkan apa sahaja bantuan kepada rakyat. Contohnya, di Dun Ladang baru-baru ini, ada kira-kira 30 buah rumah yang terlibat dengan ribut.

“Dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), saya mengarahkan semua rumah yang terlibat dibaiki secepat mungkin. Alhamdulillah, ia dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu sahaja,” katanya.

Sebelum itu, beliau membuat penyerahan rumah baru PPRT kepada Mansor Sulaiman, 54, di Kampung Ladang, di sini, semalam.

Rumah yang diduduki adiknya yang juga orang kurang upaya itu, sebelum ini terlibat dalam kebakaran kira-kira enam bulan lalu dan rumah baharu PPRT bernilai RM40,000 itu dibina di tapak asal rumah.

Mohd Sabri yang turut meninjau keadaan rumah berkenaan, berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan dan memberitahu, peruntukan bina baharu itu adalah di bawah Tabung Darul Iman.

Ketika ditanya bantuan yang cepat diberikan kepada mangsa-mangsa bencana ini disebabkan bahang pilihan raya yang dikatakan semakin hampir, beliau secara tegas menafikannya.

“Rakyat boleh menilai sendiri, dalam tempoh empat tahun ini, kita memang betul-betul bekerja untuk rakyat. Mana sahaja orang susah dan terlibat musibah, kita tetap akan bantu tanpa mengira fahaman politik.

“Walaupun di Dun Ladang ini tiada wakil BN, tetapi kita tetap bekerja keras dan bantu selesaikan apa sahaja masalah rakyat,” katanya.