KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bersetuju melaksanakan satu program perumahan baharu yang dikenali sebagai My Beautiful New Home (MyBNHOME) sebagai usaha membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah kediaman sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek itu adalah hasil usahasama antara kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Sebagai permulaan menurutnya, Terengganu akan melaksanakan dengan segera 50 unit rumah MyBNHOME di Kampung Mek Kemas, Bukit Payong, Marang di atas tanah kerajaan negeri seluas 6 ekar.

“Golongan sasaran bagi program ini adalah mereka berpendapatan isi rumah sebanyak RM3,900 ke bawah,” katanya selepas menyampaikan cek pembayaran dividen dan perkongsian keuntungan oleh Kumpulan TDM Berhad kepada agensi-agensi kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Rumah bernilai RM40,000 setiap unit itu berkeluasan 750 kaki persegi dengan kemudahan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Ahmad Razif berkata, kerajaan akan memberi subsidi sebanyak RM20,000 setiap unit dan ini bermakna penerima rumah hanya perlu membuat pinjaman berjumlah RM20,000 sahaja melalui skim pinjaman disediakan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN).

Tempoh bayaran balik pinjaman itu katanya adalah sehingga 30 tahun dengan ansuran bulanan antara RM200 hingga RM250 sebulan.

“Selepas bayaran dijelaskan, rumah tersebut akan menjadi hak milik kekal pembeli berkenaan.

Bagaimanapun sepanjang tempoh pinjaman itu sekatan moratorium selama 10 tahun akan dikenakan.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan Malaysia bagi memperbanyakkan lagi pembinaan rumah MyBNHOME ini di atas tanah milik kerajaan negeri,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT SELAMBAU - Enggan menyusahkan ramai pihak menyebabkan seorang ibu tunggal membina sendiri tempat berteduh untuk dia dan dua anaknya dengan bermodalkan RM300 walaupun tanpa kemudahan tandas, bekalan air dan elektrik sejak setahun lalu.
  • KUALA PILAH - Seorang bekas tentera merayu kepada pihak yang sudi membantu membina rumahnya yang kini terbengkalai di Kampung Air Rambutan, Kepis Baru.
  • KUALA LANGAT - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan lebih RM1.7 juta bagi membaik pulih rumah dan membina rumah baharu di kawasan luar bandar di Parlimen Kuala Langat sepanjang tahun ini.
  • HULU BESUT - Penduduk di daerah ini diminta tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah melalui program Jualan Rakyat peringkat Parlimen Besut bertempat di sebelah stesen bas Jertih pagi Sabtu ini.
  • KOTA BHARU - [VIDEO] Lebih 50 penduduk di Kampung Banggol di sini gempar selepas kediaman yang didiami bergegar dan lantai rumah merekah ekoran tanah mendap, menyebabkan sebahagian kawasan dapur runtuh.