DUNGUN - Pusat pemindahan sementara (PPS) pertama di Terengganu dibuka di Dewan Sivik Seberang Pintasan apabila seramai 40 mangsa banjir daripada 11 keluarga dipindahkan bermula malam tadi.

Hujan berterusan sejak semalam membuatkan kawasan di Kampung Temiang dan Kubang Putat dinaiki air sehingga hampir 1 meter memaksa penduduk dipindahkan ke tempat selamat.

Bagaimanapun, banjir yang berlaku bukan disebabkan air sungai meningkat atau sudah berada di paras bahaya tetapi penduduk mendakwa fenomena banjir 'termenung' itu berlaku berpunca daripada sistem perparitan dan saliran.

Malah difahamkan, sejak bertahun-tahun setiap kali musim tengkujuh, penduduk di kampung tersebut dibelenggu masalah sama.

Sistem saliran tidak sempurna jadi punca

Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Pintasan, Mohd Fauzi Ibrahim berkata, masalah banjir termenung di kawasan tersebut bukanlah baharu dan sudah banyak aduan dibuat.

Sistem saliran dan perparitan tidak sistematik didakwa jadi punca.

“Tapi sampai sekarang tiada tindakan drastik diambil menyebabkan penduduk berdepan musibah sama sedangkan masalah banjir di kawasan ini boleh dianggap tenat dan ia disebabkan masalah sistem perparitan.

“Sepatutnya sudah lama dinaik taraf tapi setiap kali aduan, pihak berkaitan mengatakan tiada peruntukan. Kita harap pihak berkaitan memainkan peranan supaya penduduk dapat menjalani kehidupan lebih baik walaupun ketika musim tengkujuh,” katanya.

Menurutnya, longkang sedia ada perlu dinaik taraf supaya air tidak bertakung dan memudahkan pengaliran air sekali gus mengatasi masalah banjir termenung.

Banjir paling buruk

Mangsa, Rosmalaili Mohd Yusof, 36 berkata, sejak lima tahun berpindah ke Kampung Kubang Putat, mereka sekeluarga berdepan masalah sama setiap kali musim hujan.

“Memang tiap-tiap tahun kami kena pindah dan kali ini boleh dikatakan paling teruk kerana pelbagai projek pembangunan dilakukan di kawasan berhampiran kampung.

“Semalam hujan bermula petang dan kira-kira jam 12 tengah malam, air di dalam rumah sudah mencecah paras paha. Air juga meningkat secara mendadak dan kami terpaksa berpindah segera untuk elakkan kejadian tak diingini,” katanya.

Ibu tunggal, Jowariah Embong, 49 berkata, masalah longkang tersumbat dan saliran tidak sistematik mendatangkan musibah kepada mereka.

Mangsa banjir bergotong-royong memasak.

“Memang beginilah nasib kami setiap kali hujan lebat pada musim tengkujuh. Bila hujan turun, ditambah air pasang menyebabkan saya yang tinggal di perumahan rakyat termiskin (PPRT) menjadi sasaran kerana air bertakung di situ,” katanya.

Cari jalan penyelesaian

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah Dungun, Othman Abu Bakar berkata, pihaknya sedia maklum berhubung masalah tersebut dan tindakan akan diambil.

“Masalah ini berlaku kerana sistem perparitan tidak sempurna dan untuk penyelesaian longkang sedia ada perlu dinaik taraf. Kita akan ambil tindakan dan    perkara ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Pembersihan longkang juga perlu dilakukan supaya aliran air lancar. Jika hujan renyai berterusan, mangsa-mangsa mungkin akan berada di sini dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi,” katanya.