KUALA TERENGGANU - Sebanyak 27 sekolah di Terengganu terpaksa ditutup hari ini berbanding jangkaan awal semalam iaitu hanya 13 sekolah kerana situasi banjir yang semakin buruk.    

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata di Setiu, sembilan sekolah ditutup selepas enam sekolah ditakungi air iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Besut, SK Chalok, SK Langkap, SK Kampung Buloh, SK Sungai Las dan SK Kg Bukit.    

"Dua sekolah lagi ditutup kerana terputus hubungan fizikal iaitu SK Kampung Fikri dan SK Lubuk Teras manakala SK Alur Lek Kasar ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir," katanya kepada Bernama hari ini.

Di Hulu Terengganu pula, 14 sekolah ditutup hari ini berikutan 10 sekolah dinaiki air manakala empat sekolah ditutup kerana terputus hubungan.    

Shafruddin berkata 10 sekolah itu ialah SK Tengkawang, SK Matang, SK Kua, SK Bukit Tadok, SK Lubok Periuk, SK Tengku Ampuan Intan, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang, SK Kuala Ping dan SK Getang.    

"Empat sekolah yang terputus hubungan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jenderis, SK Teris, SK Padang Setebu dan SK Kuala Jenderis.    

"Di Kemaman pula, hanya satu sekolah ditutup kerana ditakungi air iaitu SK Padang Kubu, begitu juga di Dungun, iaitu SK Minda Talong," katanya.    

Di Besut, dua sekolah ditutup hari ini iaitu SK Kampung Nangka selepas dinaiki air dan SK Tembila kerana dijadikan pusat pemindahan untuk mangsa banjir dan beberapa bangunan sekolah itu turut dinaiki air.    

Penutupan 27 sekolah ini melibatkan 5,824 murid dan pelajar, 681 guru serta 168 anggota khidmat pelaksana, katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA KINABALU - Sebanyak 1,685 orang daripada 719 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan banjir di Daerah Kota Belud dan Daerah Kecil Membakut, sehingga jam 8 pagi ini berbanding 1,613 daripada 692 keluarga malam tadi.
  • JOHOR BAHRU - “Hujan lebat dalam masa lima minit, air terus naik masuk dalam rumah, kami hanya sempat selamatkan barang penting dan arahkan cucu-cucu yang masih kecil ke balai raya,” luah Lahawiyah Abdul Latif, 69, penduduk Jalan Permatang 7, Kampung Kempas Baru, di sini.
  • GEMAS - Hujan lebat berterusan selama hampir dua jam menyebabkan lapan rumah penduduk di Taman Molek, di sini, dilanda banjir kilat.
  • JOHOR BAHRU - Setakat jam 7 petang tadi, hanya sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan Skudai Batu 10 yang masih beroperasi.
  • JOHOR BAHRU - Beberapa lokasi sekitar Denai dan Permatang, Kempas, di sini, mengalami banjir kilat susulan limpahan air daripada sungai di kawasan berkenaan.