BANDAR PERMAISURI - [DIKEMASKINI] Kira-kira 64 keluarga dari Kampung Seri Bayas, Hulu Setiu, di sini terputus hubungan selepas jalan utama yang menghubungkan kawasan kampung sekitar ditenggelami air sedalam kira-kira satu meter sejak malam semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Setiu, Mohd Nazri Zakaria berkata, jalan kampung itu terputus akibat jambatan Sri Bayas ditenggelami air ekoran peningkatan paras air Sungai Setiu.

Menurutnya, ada penduduk yang menggunakan sampan sebagai pengangkutan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan harian.

“Rata-rata penduduk dikatakan tidak membuat persiapan awal seperti menyediakan keperluan harian mereka kerana tidak menyangka kejadian banjir berlaku awal pada,” katanya.

Mohd Nazri berkata, bagaimanapun tidak ada penduduk  kampung tersebut yang dipindahkan kerana kawasan rumah mereka tidak dinaiki air .

Menurutnya, pihaknya turut menghantar membuat pemantauan di tempat kejadian untuk mengetahui status semasa paras air dan selain keselematan penduduk.

“Setakat jam 4.15 petang tadi jalan tersebut masih belum boleh dilalui namun paras air semakin surut dan dijangka akan boleh dilalui pada sebelah malam sekiranya cuaca cerah berterusan,” katanya.

Beliau berkata lagi, kejadian jambatan Sri Bayas ditenggelami berlaku setiap kali banjir menyebabkan penduduk terkandas namun setakat ini bukan untuk tempoh yang panjang.