SHAH ALAM – Penduduk di dua daerah di Terengganu iaitu di Hulu Terengganu dan Setiu dinasihatkan untuk bersiap siaga untuk berhadapan risiko banjir yang dijangka berlaku 10.00 malam esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melalui perkongsian Twitternya hari ini mengumumkan amaran banjir berkenaan dan berkongsikan info lokasi yang dijangka bakal terjejas oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menurutnya, beliau berharap agar kesemua penduduk yang telah disenaraikan di lokasi terbabit untuk bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan.

Menerusi info Nadma berkenaan, susulan amaran cuaca buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini pada jam 1.00 petang , Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan banjir akan berlaku pada 10 malam esok.

Amaran banjir membabitkan Lembangan Sungai Terengganu dan penduduk yang tinggal berdekatan diharap akan dapat berwaspada dan sentiasa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir Berhampiran.

Bagi daerah Hulu Terengganu membabitkan Sungai Telemong, lokasi dijangka banjir ialah Kampung Pengkalan Ajal, Nibung, Paluh Nyior, Bukit Tanduk, Paya Besar, Jak, Matang, Batu 24, Menerong, Kepah, Pasir Dula, Teris, Basung, Tengkawang, Kuala Ping, Tapah, Temala, Tok Lawit, Km 11 Jalan Sekayu, Bukit Balik Hidung, Pasir Pelata, Kua, Padang Stor, Bukit Peroh, Lubuk Periuk, Langgar Hilir, Langgar hulu, Baung, Bt Gemuruh.

Manakala, daerah Setiu pula di Kampung Permaisuri, Buluh, Buruk, Tasik, Nyatoh, Langkap, Che Long, Ulu Seladang, Pengkalan Merbau, Chalok, Sungai Tong, Bukit, Telaga Putat, Laut, P. Gemia, Kubang Kesing, Gong Terap, Guntung, Gong Gelugor, Merbau Menyusup dan Guntung Dalam.