KUALA TERENGGANU - Bencana banjir yang melanda negeri pantai timur pada musim tengkujuh adalah suatu yang lazim bagaimanapun musibah yang melanda Terengganu menyebabkan banjir berulang tiga kali pada tahun ini,  berbanding kebiasaannya hanya dua kali untuk satu musim monsun, dianggap anomali atau keadaan abnormal.

Selain itu beberapa kampung seperti di Hulu Terengganu dan Besut yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, turut mengalami bencana itu.     

Pengarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Dr Hafizan Juahir  berkata ada beberapa faktor, yang membawa kepada musibah banjir di pantai timur iaitu pertama, sistem saliran yang tidak berfungsi; kedua, penggunaan atau aktiviti guna tanah yang tidak terancang dan ketiga, perubahan cuaca dunia.

"Selain itu ia turut didorong faktor semula jadi seperti taburan hujan yang tinggi pada musim monsun," katanya.

Menurutnya, daripada pengamatan beliau terutama di Terengganu, sistem saliran kebanyakannya tidak bersambung dengan longkang besar dan juga sistem sungai.

Hafizan berkata ini menyebabkan apabila berlaku hujan lebat, air terperangkap dan tidak mengalir serta lambat surut.

"Berdasarkan pemerhatian saya juga, kebersihan kurang diberi perhatian, sampah, rumput dan tumbuh-tumbuhan yang hidup dalam ekosistem berair tumbuh meliar di dalam sistem saliran.

"Keadaan ini menyebabkan aliran air tersekat. Bila berlaku hujan air akan cepat naik dan mengakibatkan banjir," katanya.

Menurut Hafizan, faktor kedua iaitu pembangunan yang tidak terancang juga mempengaruhi berlakunya banjir khususnya banjir kilat di kawasan yang padat dengan penduduk.

"Banjir kilat tetap terjadi walaupun setiap kali banjir kerajaan akan memperuntukkan jutaan ringgit untuk memperbaiki sistem saliran, mendalamkan sungai dan lain-lain kaedah mitigasi banjir.

"Keadaan ini berlaku akibat daripada aktiviti guna tanah yang tidak terancang dan di luar kawalan. Ini akan mengakibatkan sistem saliran dan sungai menjadi cetek akibat daripada pembukaan tanah (kawasan tanah diterangkan)," katanya.

Hafizan berkata, situasi berkenaan disebabkan apabila hujan, partikel tanah yang tidak lagi dipegang oleh akar tumbuhan, dengan mudah dibawa air larian permukaan ke dalam sistem saliran, seterusnya masuk ke dalam sungai.

"Partikel atau kelodak (lumpur) akan mendap di dalam sistem saliran dan dasar sungai. Ini akan mengakibatkan sistem saliran tersumbat dan sistem sungai menjadi cetek," katanya.

Faktor ketiga katanya, iaitu perubahan cuaca global (GCC) perlu diambil kira. GCC telah mengakibatkan peningkatan suhu dunia yang meningkatkan paras air laut akibat daripada pencairan ais di kutub utara dan selatan.

"Situasi ini telah memburukkan lagi keadaan apabila berlakunya pertembungan fenomena air pasang dan banjir mengakibatkan air tidak dapat mengalir ke laut," katanya.

Sehubungan itu, Hafizan meminta pihak berkaitan memberi perhatian terhadap ketiga-tiga faktor itu agar perubahan dapat dibuat, sekali gus mengelak rakyat terus dihantui trauma dan kerugian akibat musibah banjir saban tahun.

Walaupun bencana banjir tahun ini dianggap anomali, namun ia melakar hikmah tersendiri, iaitu perubahan positif dari segi koordinasi pasukan keselamatan dan kebajikan dalam membantu memindahkan mangsa banjir ke kawasan selamat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lef Kol Che Adam Abdul Rahman berkata kelicinan operasi adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kebajikan Kampung (JKKK) yang telah diberi latihan di peringkat awal khususnya dalam tindakan segera sekiranya bencana banjir berlaku di kampung mereka sebelum keadaan bertambah buruk.

"APM yang telah dilantik selaku sekretariat bencana negeri dalam tempoh dua tahun ini, telah melatih JKKK menerusi simulasi bencana supaya mereka dapat memberi pendidikan keselamatan kepada penduduk kampung untuk tindakan segera jika berlaku banjir.

"Dengan cara ini, alhamdulillah, setakat empat fasa banjir yang berlaku pada November 2016 hingga pertengahan Januari lalu, semua mangsa banjir dapat

dipindahkan dengan selamat ke pusat pemindahan yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tiada berlaku kelewatan pemindahan atau mangsa yang terperangkap.

"Kami juga mengucapkan syabas kepada JKM yang turut bertungkus lumus dan bekerja tidak kira siang atau malam dalam memastikan kebajikan dan keselamatan penghuni pusat pemindahan terjamin sepanjang mereka berada di situ," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam pusat pemindahan di Jasin dan Alor Gajah meningkat sedikit kepada 246 orang setakat 8 malam ini berbanding 242 orang petang tadi.
  • MELAKA - Kerajaan Negeri merangka tiga pendekatan utama melibatkan sistem saliran dan tebatan banjir dalam usaha mengatasi masalah banjir yang melanda negeri ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.