GONG BADAK - Umno Kuala Nerus bakal memiliki bangunan baharu apabila projek yang menelan kos RM12 juta itu dijangka siap Februari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bangunan setinggi lima tingkat yang terletak di Gong Badak itu juga turut dilengkapi pusat konvensyen.

"Kos pembinaan bangunan baharu ini diperolehi menerusi sumbangan orang yang kita dibuat melalui Umno bahagian.

"Selain itu, bangunan yang turut memiliki pusat konvensyen ini juga mampu menampung sehingga 2, 500 orang dalam satu masa.

"Justeru kita berharap dengan adanya bangunan ini nanti ia bakal menjadi satu lagi mercu tanda serta kebanggaan rakyat di daerah ini,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Gerak Gempur Tawan 4P Parlimen Kuala Nerus dan Jentera Pilihanraya Serta Majlis Pecah Tanah Bangunan UMNO Kuala Nerus di sini, semalam.

Jelas Ahmad Razif lagi, bangunan serba moden itu juga dilihat bakal menjadi satu lagi tarikan terbaharu di kawasan berkenaan.

"Kedudukannya juga strategik serta berhampiran dengan kemudahan seperti lapangan terbang, hotel dan sebagainya,"katanya.